Lelaki lemas kerana keletihan bantu mangsa banjir

0
3

NIAT murni seorang lelaki membantu mangsa banjir berpindah berakhir tragedi apabila ditemui mati dipercayai lemas.

Mangsa, Mohammad Hakimin Rahim, 20, aktif membantu penduduk Kampung Manjur sejak pagi semalam, namun dia dilaporkan keletihan lalu pengsan dan terjatuh dari perahu ke dalam sungai.

Kejadian dipercayai berlaku selepas mangsa yang mendayung perahu ketika membawa dua penumpang terjejas banjir ke sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) berdekatan kira- kira jam 9 pagi hingga 10 malam.

Bagaimanapun, mayat mangsa ditemui oleh ahli keluarganya kira-kira jam 8.30 pagi tadi.

Difahamkan, mangsa kepenatan sehingga menyebabkan berlaku kekejangan pada bahagian anggota badan sebelum pengsan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Krai, Penolong Penguasa Bomba Muhammad Rizwan Ar-Rafee Parsimin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira- kira jam 10.07 malam tadi.

“Selepas itu, gerakan mencari dan menyelamat dilakukan bersama lima anggota di lokasi tersebut sehingga jam 12.30 malam.

“Gerakan mencari dan menyelamat disambung semula pagi ini. Bagaimanapun, keluarga mangsa telah memaklumkan bahawa mayat lelaki itu sudah ditemui pada jam 8.30 pagi ini di lokasi tempat dia jatuh,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Suzaimi Mohamad ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.

Katanya, mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Sultan Yahya Petra Kuala Krai untuk bedah siasat. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here