TINDAKAN Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) tidak meluluskan pendaftaran Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dilihat bagi menyekat potensi kedua-dua parti itu.
Tokoh wartawan Nasional, Datuk A Kadir Jasin mendakwa tindakan ROS itu dilihat sebagai Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin mengakui Pejuang dan Muda ada potensi.
“ROS tolak Pejuang dan Muda pasal Muhyiddin dan Hamzah Zainuddin mengakui Pejuang dan Muda ada potensi,” katanya melalui satu hantaran di Facebooknya hari ini.
Beliau turut menyifatkan tindakan itu adalah sesuatu yang memalukan kerana menyekat gerakan politik parti berkenaan.
“Sangat memalukan apabila orang tua macam Muhyiddin dan Hamzah Zainuddin takut kepada orang muda macam Syed Saddiq.
“Boleh jadi Muhyiddin dan Hamzah penakut sejak budak-budak lagi.
“Tapi mereka tidak akan berjaya menyekat Muda dan Pejuang sebagai gerakan politik de facto,” katanya diruangan komen dalam hantaran yang sama.
Terdahulu dilaporkan ROS menolak permohonan pendaftaran Pejuang semalam melalui surat yang diberikan kepada Setiausaha Agung Penaja parti berkenaan.
Sementara itu, permohonan Muda pula dimaklumkan melalui satu emel semalam selepas hampir empat bulan menghantar permohonan. -Malaysiapost

