PEKAN Rantau Panjang lumpuh sepenuhnya ditenggelami banjir hari ini.

Menurut laporan portal ebanjir.kelantan.gov.my ekoran hujan lebat yang melanda sejak beberapa hari lalu, air Sungai Golok telah melimpah dan membanjiri bandar zon bebas cukai itu.
Setakat jam 12 tengah hari tadi bacaan paras air Sungai Golok melepasi paras bahaya iaitu 10.65 meter.
Menurut Facebook Rantau Panjang Post, jalan laluan ke pekan berkenaan hanya boleh dilalui oleh kenderaan berat sahaja.
Beberapa kampung seperti Gual Sitok ,Gual Periuk, Tok Deh, Tersang, Padang Licin, Bukit Tandak, Kubang Kual, Lubok Stol dan Tasik Permai turut ditenggelami air dan semua penduduk diarahkan berpindah buat sementara waktu di pusat pemindahan banjir.
Sementara itu, seorang penduduk Nurul Hidayah berkata, perasaan takut mula menyelubungi apabila melihat air mula melimpah masuk ke pekan Rantau Panjang sejak pukul 4 petang semalam.
Katanya paras air meningkat mendadak kerana hujan lebat pada sebelah malam menyebabkan beberapa kawasan rendah di sekitar pekan itu di tenggelami air.
“Segala urus niaga di zon bebas cukai telah ditutup. Banjir gelombang ketiga kali ini teruk sedikit berbanding sebelum itu.
“Saya sangat takut melihat air naik dengan begitu cepat pada kejadian banjir kali ini,” katanya. -Malaysiapost

