KEENGGANAN Kabinet dipimpin Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk memanggil satu persidangan khas Parlimen untuk membincangkan mengenai wabak Covid-19 dianggap bukti terbesar kakistokrasi dalam negara.
Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang, berkata kerajaan dalam tempoh 10 bulan gagal melancarkan pendekatan membabitkan keseluruhan pihak dan masyarakat untuk menghadapi wabak berkenaan.
Penasihat DAP itu berkata, kegagalan melantik seorang Menteri Kesihatan yang berkebolehan bagi menguruskan wabak berkenaan serta tindakan tidak bertanggungjawab kerajaan memberikan layanan berbeza dalam pelaksanaan SOP Covid-19 menambahkan ketidakpercayaan rakyat terhadap kerajaan.
“Apa yang mengerikan apabila semua sumber patut difokuskan kepada bagaimana kita boleh melawan wabak ini, namun parti utama dalam pakatan kerajaan terus obses dengan idea untuk mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) untuk cuba kembali berkuasa bagi membolehkan pemimpin mereka mengelakkan hukuman penjara atas kesalahan kleptokrasi mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kit Siang berkata, Malaysia telah hilang arah, selepas enam dekad penubuhan negara ini, dan kita gagal untuk memenuhi aspirasi Bapa Malaysia, Tunku Abdul Rahman.
“Kita memerlukan sebuah konsensus nasional baharu untuk mengembalikan Malaysia ke arah impian untuk menjadi sebuah negara terhebat di mata dunia.
“Saya cadangkan kepada semua parti politik di negara kita untuk berjumpa dalam satu Persidangan Kebangsaan untuk menubuhkan satu konsensus nasional baharu untuk mengembalikan Malaysia ke arah sebuah negara berkelas dunia.
“Selain membincangkan bagaimana mengendalikan dua isu utama yang membelenggu negara iaitu wabak Covid-19 dan rasuah. Ada yang berminat?” katanya.
-Malaysiapost

