Ikatan ‘tepuk tangan’ ROS tolak permohonan Muda

0
1

PARTI Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) menyambut baik keputusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) tidak meluluskan pendaftaran Parti Ikatan Demokratik (Muda).

Ketua Dewan Pemudanya, Shahir Adnan, berkata langkah yang diambil ROS adalah tepat kerana Muda menggunakan nama parti Ikatan yang mengelirukan orang ramai.

“Ikatan ditubuhkan pada 7 June 2012 oleh Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir yang hanya diluluskan ROS pada 5 June 2015.

“Hampir tiga tahun diambil untuk ROS meluluskan permohonan penubuhan parti baharu. Jika ada parti yang mendapat kelulusan kurang dari tiga tahun, itu adalah satu keistimewaan bagi mereka,” katanya menerusi kenyataan.

Katanya, penting bagi satu-satu organisasi itu mempunyai hala tuju yang jelas bagi mencapai objektif mereka dan kelulusan ROS bukan hanya untuk mendapatkan akaun bank seperti yang dicanang segelintir ahli Muda.

“Sudah hampir lapan tahun nama Ikatan sinonim dengan Parti Ikatan Bangsa Malaysia. Diharapkan Pengasas Muda tidak semberono dalam mencari nama partinya yang baharu.

“Buatlah kajian terlebih dahulu dan bukan hanya mencari publisiti politik murahan dengan menyalahkan pihak lain,” katanya.

Terdahulu, Muda mengesahkan ROS menolak permohonan pendaftaran parti itu menerusi e-mel, semalam.

Menerusi kenyataan, Muda memaklumkan ROS tidak menyatakan sebab mengapa permohonan mereka sejak empat bulan lalu itu ditolak.

“Muda kecewa dengan penolakan ROS, Di pihak Muda, kami memberi kerjasama penuh kepada ROS dan mematuhi segala syarat untuk pendaftaran. Jadi tiada sebab kukuh untuk ROS menolak pendaftaran Muda,” kata kenyataan itu. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here