‘Umno kekal kerjasama PAS, GPS dan kukuhkan MN’ – Ahmad Maslan

0
2

“UMNO akan terus bekerjasama dengan PAS untuk mengukuhkan Muafakat Nasional (MN),” kata Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Ahmad berkata, pada masa sama parti berkenaan tegas dengan pendirian tidak bekerjasama dengan DAP.

Beliau berkata, selain itu, Umno tidak ada perbincangan dan keputusan dilakukan membabitkan parti pembangkang lain termasuk PKR dan Parti Amanah Negara (Amanah).

Katanya, pendirian memantapkan kerjasama dengan PAS dan perkukuh MN itu juga disokong oleh ketua-ketua Umno bahagian yang menghadiri pertemuan bersama Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pagi tadi.

“Setakat ini yang diputuskan hari ini ialah kita tidak bekerjasama dengan DAP, kita juga putuskan untuk terus perkukuh kerjasama dengan PAS, selepas itu GPS (Gabungan Parti Sarawak),” katanya.

Ahli Parlimen Pontian itu berkata, Umno juga tidak membuat sebarang keputusan berhubung kerjasama dengan PKR serta Amanah.

“Kita tidak bincang perundingan dengan parti lain, kerjasama dengan parti lain selain (PAS dan GPS) itu kita kena tunggu dan lihat kemudian,” katanya.

Ahmad yang baharu dilantik sebagai Setiausaha Agung Barisan Nasional turut memaklumkan keputusan pertemuan itu akan dibawa ke mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) malam esok.

“Keputusan MKT esok malam amat penting,” katanya. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here