SEBUAH keluarga bernasib baik apabila terselamat daripada menjadi mangsa runtuhan tanah yang meranapkan keseluruhan rumah mereka.
Suhaimi Yunus berkata, kejadian runtuhan berlaku hanya selepas kira-kira tiga jam dia sekeluarga meninggalkan rumah berkenaan malam tadi.
“Runtuhan itu meranapkan keseluruhan kediaman kami,” katanya seperti dilapor Berita Harian.
Dalam kejadian kira-kira 12.30 malam tengah tadi, dua unit rumah berkembar di Lorong 29, Taman Gambang Damai, di Kuantan runtuh selepas dipercayai berlaku pergerakan tanah yang terletak di cerun bukit.
Suhaimi berkata, kesan retak serius berlaku pada kabinet dapur apabila beberapa kepingan jubin rumahnya tertanggal petang semalam.
Beliau berkata, ia sekali gus menimbulkan rasa bimbang di kalangan ahli sekeluarganya sebelum segera berpindah.
Katanya, dengan bantuan rakan, dia berjaya mendapatkan rumah sewa yang terletak di Taman Gambang Damai Satu, tidak jauh daripada rumahnya.
“Malam tadi saya sekeluarga dibantu 20 jiran memindahkan sebahagian kecil barangan seperti peti sejuk, mesin basuh dan beberapa peralatan lain. Kami bercadang untuk menyambung kerja memindah pagi ini.
Namun saya tidak menyangka episod memilukan awal tahun baharu berlaku tanpa diduga, hanya dalam sekelip mata rumah yang saya sekeluarga duduki sejak empat tahun lalu menyembah bumi.
“Saya anggarkan kerugian lebih RM400,000 ditanggung kerana banyak barang dan peralatan musnah di bawah timbunan rumah yang runtuh,” katanya ditemui di tempat kejadian hari ini.
Beliau yang bertugas sebagai pensyarah Kolej Matrikulasi Pahang, berkata walaupun kehilangan harta benda dalam sekelip mata, namun dia tetap bersyukur tidak berlaku kemalangan jiwa dalam kalangan ahli keluarga.
Suhaimi berkata, dia tidak dapat bayangkan apa yang akan terjadi sekiranya kami sekeluarga berada dalam rumah ketika runtuhan berlaku yang difahamkan berlaku begitu cepat, kehilangan nyawa mungkin berlaku.
Tambahnya lagi, rekaan rumah berkenaan meletakkan bilik di bahagian belakang dan dapur di depan, kami sekeluarga pasti tertimbus bawah timbunan rumah kerana kejadian berlaku awal pagi.
Suhaimi berkata, semalam dua kali dia membuat aduan kepada pihak berkuasa terutama selepas kejadian retakan pada lantai depan rumah dan jubin kabinet dapur tertanggal namun tidak sempat sebarang tindakan dilakukan.
“Kejadian yang berlaku seolah mimpi ngeri yang tidak pernah diduga, keseronokan berteduh di rumah yang selesa dan suasana menarik kini hanya tinggal kenangan sahaja.
“Saya sekeluarga kini begitu takut melihat rumah yang berada di lereng bukit,. Justeru, saya amat berharap mendapat pembelaan daripada pihak berwajib,” katanya. -Malaysiapost
Foto Kredit: Berita Harian

