“HARGA vaksin Pfizer-BioNtech dan AstraZeneca telah didedahkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC)”, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin.
Ahli Parlimen Rembau itu berkata, beliau dan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba selaku Pengerusi Bersama Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) memaklumkan perkara itu dalam prosiding
rasmi PAC mengenai perolehan vaksin dan penggunaannya terhadap rakyat.
“Disebabkan tidak dapat mengumumkan harga secara teliti bagi setiap pembelian walaupun kita sudah umum harga keseluruhan tetapi saya membuat keputusan, dalam prosiding PAC, saya sudah mendedahkan harga pembelian kita secara terperinci.
“Saya juga mendedahkan dokumen kontrak antara syarikat Pfizer dan AstraZeneca bersama dengan kerajaan Malaysia kepada PAC tadi,” katanya.
Sementara itu, Khairy berkata, sebanyak 55 lokasi di kawasan bandar dikenalpasti untuk penyimpanan vaksin Pfizer-BioNTech.
Ahli Parlimen Rembau itu berkata, sebanyak 55 penyejuk beku suhu rendah dibeli bagi tujuan penyimpanan vaksin berkenaan yang memerlukan suhu sejuk melampau.
“Pfizer akan disimpan di kawasan bandar kerana ia perlu disimpan dalam suhu yang sejuk melampau, manakala AstroZeneca adalah bagi kawasan luar bandar kerana ia boleh menggunakan penyejuk beku biasa.
“Kita sudah meluluskan pembelian penyejuk beku suhu rendah, peti sejuk dan bekalan perubatan berkaitan bagi rangkaian sejuk dan sejuk melampau berharga RM16.6 juta,” katanya. -Malaysiapost

