PEMIMPIN dan pendukung Pakatan Harapan (PH) perlu merenung serta menginsafi terhadap keretakan yang berlaku dalam Perikatan Nasional (PN) yang kini ibarat retak menanti belah.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor, Najwan Halimi berkata ia menunjukkan kerjasama politik yang dibentuk menerusi muslihat, penipuan dan pengkhianatan tidak mampu bertahan lama dan bakal menemui pengakhiran memalukan.
Justeru, katanya, dalam situasi yang melanda PN ketika ini, PH harus mengambil ruang dan ikhtiar untuk memperkukuh kerjasama antara parti komponen iaitu PKR, DAP dan Amanah serta siap siaga menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang dijangka diadakan dalam masa terdekat.
“PH perlu bergerak lebih agresif dengan merangka semula kebijakan ekonomi dan sosial yang lebih berkesan.
“Ini demi memenangi semula kepercayaan dan keyakinan rakyat, seterusnya mengambil alih kembali Putrajaya di dalam PRU15,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai reaksi terhadap perkembangan politik mutakhir ini yang menyaksikan bibit-bibit perpecahan ketara antara Umno dan Bersatu.
Daripada 191 bahagian Umno di seluruh negara, dilaporkan 189 bahagian telah menyatakan pendirian rasmi menolak kerjasama politik dengan Bersatu dalam PRU15. – Malaysiapost

