Banjir: Kerajaan sedia peruntukan RM8 juta

0
2

SEBANYAK RM8 juta diperuntukkan bagi menampung pelbagai keperluan asas mangsa banjir termasuk makanan kering, tilam, selimut dan bantal di lapan depoh seluruh negara.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata daripada jumlah itu, RM1 juta diperuntukkan untuk Pahang.

Setakat jam 1 tengah hari tadi, Pahang merekodkan 10,739 mangsa daripada 3,319 keluarga di 201 pusat pemindahan sementara (PPS) di sembilan daerah.

“Mangsa dan petugas Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga diingatkan untuk terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) serta mengamalkan norma baharu seperti ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) sepanjang berada di PPS,” katanya seperti dilapor Bernama.

Rina berkata demikian menerusi kenyataan media selepas melawat mangsa banjir di tiga PPS sekitar Raub, iaitu PPS Dewan Kampung Pia, Masjid Kampung Temau dan Sekolah Kebangsaan (SK) Kundang Patah dengan diiringi Pengarah JKM Pahang, Zulkhairi Zainol Abidin.

Berdasarkan portal Info Bencana JKM enam negeri dilanda banjir iaitu Pahang, Johor, Selangor, Perak, Kelantan dan Terengganu.

Setakat jam 1 tengah hari, seramai 20,093 orang daripada 5,779 keluarga ditempatkan di 284 PPS seluruh negara. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here