Jangan cakap Cik B dan Kacak anak derhaka pula – DSV

0
1

Nurul Huda Abhar

JUTAWAN Kosmetik, Datuk Seri Vida (DSV) menegaskan beliau tiada halangan untuk memberi kebebasan kepada Cik B dan Kacak berjumpa dan berhubung dengan bapa kandung mereka, tetapi keadaan tertentu yang tidak mengizinkan situasi tersebut berlaku.

DSV atau nama sebenar Hasmiza Othman juga bersyukur dengan keputusan Mahkamah Tinggi Syariah Kota Bharu yang memutuskan percanggahan hak hadanah memihak kepada pihaknya.

“Cik B dan Kacak, mama (DSV) tak pernah menghalang dan mahkamah dah beri arahan kalau boleh Cik B dan Kacak hubungi ayah mereka supaya tidak putus silaturrahim. Memang kita tak nak putuskan silaturrahim pun tapi atas sebab sebab tertentu biarlah mereka tidak berjumpa dahulu secara bersemuka.

“Saya memang mohon kepada mahkamah untuk tidak panjangkan hal ini, keputusan juga tidak mengganggu emosi Cik B dan Kacak.

“Alhamdulillah hari ini atas doa semua kes tidak dipanjangkan. Keputusan itu atas budi bicara yang arif dan pertanyaan yang arif dan tuan hakim yang bertanya kepada Kacak dan Cik B,” katanya kepada pemberita di pekarangan Mahkamah Kota Bharu hari ini.

Beliau juga memohon agar masyarakat tidak menggelarkan Cik B dan Kacak sebagai anak derhaka kerana orang luar tidak memahami apa yang berlaku dalam keluarganya.

Turut dijelaskan bahawa melalui rundingan luar mahkamah sebentar tadi, telah diputuskan agar Cik B dan Kacak untuk menghubungi bapa kandung, bukan bapa mereka yang menghubungi terlebih dahulu.

“Jangan cakap Cik B, Kacak anak derhaka pula. Kamu cakap senang yang menghadapnya kami.

“Sebulan sekali ke hubungi supaya mereka perlahan-lahan untuk melupakan apa yang dilalui sebab saya tak pernah menghalang pun,” ujarnya.

Pada masa sama, Cik B memberitahu akan menghubungi bapanya apabila sudah bersedia dan menyatakan ibunya tidak pernah menghalang dirinya untuk bertemu dengan bapa kandung

“Jumpa pun kalau saya dah ready. Mama tak pernah paksa pun untuk tidak berjumpa (bapa), mama bukan jenis macam tu. Kali terakhir berjumpa dua tahun lepas,” ujar Cik B.

Manakala, Kacak pula memberitahu masih trauma dan belum bersedia untuk berjumpa bapanya, tetapi tidak memperincikan kejadiaan yang berlaku antara dirinya dan bapa.

“Masih belum sedia untuk berjumpa sebab masih dalam keadaan takut. Dulu dah pernah kena macam-macam dengan dia (bapa) jadi benda tu masih dalam fikiran saya,” ujar Kacak.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi Syariah Kota Bharu hari ini memutuskan bekas suami DSV, gagal mendapatkan hak hadanah untuk bertemu dengan dua anaknya.

Hakim Mahkamah Tinggi Syarie, Datuk Abu Bakar Abdullah Kutty mengarahkan Edlynn Zamilleen, 16, atau Cik B dan Muhammad Eric Zaquan, 14, atau lebih dikenali sebagai Kacak menghubungi bapa mereka, Mohd Amin Yasin sekurang-kurang sebulan sekali.

Abu Bakar berkata, ia bertujuan mengelak ikatan silarutahim antara anak dengan bapa terputus.

DSV berkahwin dengan Mohd Amin pada tahun 2000 turut dikurniakan dua lagi cahaya mata iaitu Muhammad Eddie Zuhdie dan Muhammad Edrie Zikrie.

Bagaimanapun, Muhammad Eddie Zuhdie dan Muhammad Edrie Zikrie yang ketika itu masing-masing berusia 11 dan 10 tahun meninggal dunia dalam kebakaran di rumah DSV di Meru Hill, Ipoh pada 2013.

Mohd Amin sah bercerai dengan DSV pada tahun 2008 iaitu selepas lapan tahun mendirikan rumah tangga. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here