LAPAN kawasan di wilayah Hulu Selangor mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual berikutan henti tugas Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selisek kira-kira jam 5.40 petang tadi.
Menurut Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), LRA terbabit dihenti tugas berikutan kenaikan air ke paras kritikal di muka sauk disebabkan hujan berterusan hari ini.
“Kawasan terjejas adalah Kampung Sungai Nilam/Kampung Seri Pagi, Kampung Lalang, Rumah Murah PKT 2 Sungai Selisek, Kampung Serigala, Kampung Orang Asli, Kampung Bahom, Kampung Sekolah/Kuarters Klinik dan Kampung Gesir Tengah.
“Jangkaan untuk LRA Sungai Selisek beroperasi semula belum dapat dipastikan ketika ini memandangkan hujan belum berhenti dan air masih paras kritikal.
“Air Selangor perlu memastikan semua peralatan LRA berada dalam keadaan baik dan boleh dioperasikan tanpa membahayakan keselamatan kakitangan Air Selangor terutama membabitkan arus elektrik,” katanya.
Sehubungan itu, Air Selangor akan memaklumkan perkembangan lanjut insiden terbabit dan status terkini bekalan air dari semasa ke semasa menerusi laman sesawang www.airselangor.com.
Orang ramai boleh merujuk semua saluran komunikasi rasmi seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau menghubungi Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300. -Malaysiapost

