MKT Umno bincang tolak kerjasama dengan Bersatu

0
1

MAJLIS Kerja Tertinggi (MKT) Umno akan membincangkan usul bagi penolakan kerjasama politik di antara parti itu dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada mesyuarat Rabu ini.

Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, setakat ini 143 daripada 191 ketua UMNO bahagian seluruh negara menyatakan pendirian untuk tidak bekerjasama dengan Bersatu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) nanti.

Beliau menegaskan, keputusan itu yang akan dinyatakan secara rasmi melalui usul pada mesyuarat perwakilan bahagian masing-masing perlu dikaji dan diterima parti.

“Rabu ini akan diadakan mesyuarat MKT Umno dan usul (penolakan kerjasama dengan Bersatu) akan dibincangkan.

“Saya berharap keputusan yang akan dibuat nanti diterima sebagai keputusan parti kerana jika satu keputusan sudah dibuat, semua harus akur dan diikuti,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.

Mengenai kenyataan Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki bahawa Bersatu ‘mencuri dan membeli’ ahli Umno, Ahmad Zahid berkata, ia dibuat berdasarkan dapatan kajian yang dilakukan Asyraf Wajdi sendiri.

“Tentunya kenyataan beliau itu mempunyai asas dan fakta selepas beliau sendiri melakukan kajian itu,” katanya.

Mengulas kenyataan Pengarah Pilihan Raya Umno, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman bahawa parti itu hanya akan bekerjasama dengan PAS tanpa Bersatu bagi menghadapi PRU-15 nanti, Ahmad Zahid berkata, ia dibuat atas kapasiti jawatan Tajuddin dalam parti.

“Kenyataan Ahli Parlimen Pasir Salak itu juga akan dibawa ke dalam mesyuarat MKT Umno nanti,” katanya. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here