Pas tak adil, Umno Terengganu tanding semua kerusi

0
2

UMNO Terengganu sekali lagi menegaskan pendirian tidak akan bekerjasama dengan Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Menurut Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Said, Umno Terengganu akan bertanding di semua 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan lapan kerusi Parlimen di negeri itu.

“Umno juga akan merampas semula kerusi Parlimen Hulu Terengganu daripada Bersatu pada PRU 15 kerana kerusi itu sebelum ini merupakan kerusi tradisi milik Umno.

“Kita mahu ambil semula kerusi yang telah ‘lompat’ dan siapa yang mahu bertanding di situ perlu lawan dengan kita,” katanya dalam ucapan merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Kemaman.

Lebih mengecewakan, menurut Ahmad, Muafakat Nasional (MN) di Terengganu seperti tidak wujud apabila kerajaan negeri Terengganu dilihat mengamalkan ‘double standard’ kepada wakil rakyat Barisan Nasional (BN).

Ahmad yang juga Ketua Umno Bahagian Kemaman berkata, pengagihan peruntukan RM10 juta daripada kerajaan pusat bagi menangani pandemik Covid-19 didakwa tidak diberikan sama rata kepada wakil rakyat.

“Saya bandingkan cara agihan yang diberikan kerajaan Pahang dan Perlis yang diterajui BN. Mereka mengagihkan sama rata sama ada wakil rakyat Umno, Pas, PKR dan sebagainya kerana ia melibatkan hak rakyat.

“Tapi, di sini wakil rakyat UMNO hanya dapat peruntukan RM45,000 berbanding wakil rakyat Pas sebanyak RM350,000 dan RM305,000 kepada Pejabat Penyelaras DUN yang dikendalikan Pas.

“Di Perlis dan Pahang, peruntukan itu diagihkan sama rata, tetapi di Terengganu tidak berlaku kerana tiada perbincangan berhubung agihan itu,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here