PAS Gombak beri laluan kepada BN tanding Parlimen

0
2

PAS Gombak memberi laluan kepada Barisan Nasional (BN) untuk bertanding di kerusi Parlimen itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata Yang Dipertuanya, Salehuddin Nasir,

Beliau berkata, keputusan itu bagi menjaga perpaduan dalam Muafakat Nasional (MN) selain menjadi kekuatan kepada perjuangan gabungan itu untuk mendepani PRU15.

Katanya, hasrat itu telah disuarakan kepada pucuk pimpinan PAS Selangor secara rasmi untuk membuat keputusan.

“PAS kawasan Gombak telah bersetuju dan memutuskan Parlimen Gombak akan ditandingi calon BN.

“Insya-Allah kita mempunyai kekuatan dan mereka (parti lawan) tidak boleh berbuat apa-apa. Ini jaminan PAS kawasan kepada Umno Gombak, ” katanya pada Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Gombak, lapor Sinar Harian.

Dalam ucapan itu, beliau mendedahkan ada cubaan memberi tawaran kewangan untuk mengganggu kerjasama MN, namun PAS kekal pendirian dalam perjuangan gabungan itu.

“Sudah ada gerakan daripada pihak tertentu bertemu dengan saya untuk menyogok wang yang banyak.

“Namun, saya nyatakan terus terang dan secara tegas, saya tidak akan jual perjuangan ini. Saya akan tentang mereka habis-habisan,” katanya.

Parlimen Gombak kini disandang Menteri Kanan, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali daripada Bersatu setelah meninggalkan PKR. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here