Covid-19: Beri vaksin kepada mahasiswa

0
1

KESATUAN Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM) menyarankan kerajaan mempertimbangkan keutamaan suntikan vaksin Covid-19 turut diberi kepada mahasiswa yang akan kembali ke kampus secara besar-besaran, Mac ini.

Presidennya, Muhammad Haziq Azfar Ishak, berkata pemberian vaksin itu perlu mengikut keadaan dan kesesuaian semasa berdasarkan analisis keperluan.

“Pada masa sama Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dengan bantuan Kementerian Kesihatan (KKM) perlu menyediakan kemudahan ‘mass testing’ atau ujian meluas Antigen Rapid Test (kit RTK) untuk mahasiswa.

“Langkah itu perlu untuk pencegahan penularan wabak Covid-19 di kampus sebagai tambahan tindakan sedia ada,” katanya dalam kenyataannhari ini.

Muhamad Haziq berkata, KMUM turut mencadangkan wakil mahasiswa dilibatkan dalam membuat keputusan di peringkat pengurusan universiti berkaitan hal ehwal pelajar pasca Covid-19.

Katanya, penglibatan wakil mahasiswa dapat membantu menentukan mekanisme kemasukan ke kampus secara berfasa serta mod pembelajaran secara hibrid seperti digariskan oleh KPT.

Beliau menambah, KMUM juga mahu keputusan bagi pengecilan kapasiti penempatan di setiap kolej kediaman, dinilai semula secara menyeluruh dan teliti.

Katanya, keputusan bagi pengecilan kapasiti penempatan di setiap kolej kediaman telah ‘mengorbankan’ dalam lingkungan 2,000 mahasiswa untuk mendapat tempat di kediaman yang disediakan IPT.

“KMUM telah menghantar notis bantahan kepada Timbalan Naib Canselor (HEP) pada 28 Julai 2020 akibat keputusan ini.

“Kami menggesa sekurang-kurangnya sebahagian kapasiti dibuka tanpa kompromi kepada prosedur operasi standard (SOP),” katanya.

Turut dicadangkan, katanya, pemilihan kemasukan mahasiswa ke kolej kediaman dilakukan dengan lebih telus dan inklusif.

“Dengan ketiadaan mahasiswa di kampus dalam kapasiti biasa selama hampir setahun, kriteria pemilihan ke kolej kediaman secara status quo perlu disemak semula.

“Selain itu, pemilihan kemasukan mahasiswa ke kolej kediaman perlu dilakukan secara telus dan inklusif agar mahasiswa yang benar-benar layak dan lebih memerlukan, mendapat tempat di kolej kediaman,” katanya.

Beliau berkata, KMUM turut mencadangkan semua pengumuman dan notis berkaitan perkara itu dikeluarkan lebih awal.

“Ini bagi memberi masa yang munasabah bagi mahasiswa mempersiapkan diri khususnya dari segi kewangan. Umum sedia maklum banyak keluarga terjejas kedudukan kewangannya dalam tempoh pandemik ini.

“Ia juga dapat mengelak kekeliruan dalam kalangan mahasiswa,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here