‘Bukan kerja polis turunkan tampalan komunis’

0
3

PIHAK berkuasa terutama polis patut mengambil tindakan tegas kepada pemilik restoran yang cuba menghidupkan semula fahaman komunis di Malaysia.

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Razlan Rafii berkata bukan kerja polis menurunkan tampalan berkaitan idealisma komunis dan apa yang dilakukan sebuah restoran di Juru, Pulau Pinang tidak boleh dianggap ringan.

“Sepatutnya, polis atau Majlis Keselamatan Negara mengarahkan pemilik restoran itu menurunkan poster, tidak boleh diberi muka. Sekiranya berdegil, tangkap dan reman pemilik serta pekerja kerana bersubahat,” katanya menerusi Facebook miliknya, hari ini.

Menurutnya, kerajaan mesti mengambil tindakan tegas menyekat penularan propaganda itu yang boleh mengancam keselamatan negara.

“Kerajaan seharusnya tidak berlembut dengan gerakan komunisme yang sedang dijalankan di Pulau Pinang. Ia ancaman keselamatan secara subersif, sekiranya tidak diambil tindakan tegas, akan menyebabkan rakyat berperang sesama sendiri.

“Saya tidak faham, kenapa pihak berkuasa menjadi kuli kepada gerakan komunisme ini dengan menurunkan tampalan.

“Pihak atasan termasuk Menteri Dalam Negeri perlu peka dengan bidang kuasa dan seharusnya lebih bijak menggunakan kuasa,” katanya.

Polis Pulau Pinang membuka kertas siasatan berhubung tindakan pemilik sebuah restoran menghiasi gambar era revolusi kebudayaan China serta wajah pemimpin Komunis, Mao Tze Tong pada dinding premisnya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Rahimi Ra’ais berkata, siasatan dijalankan selepas pihaknya menerima maklumat awam berhubung gambar poster terbabit pada dinding dua restoran makanan milik lelaki tempatan berusia 41 tahun tersebut, semalam.

Katanya, siasatan lanjut mendapati restoran yang diselia lelaki terbabit beroperasi di Pulau Tikus di Timur Laut dan Auto City di Juru, Seberang Perai Tengah. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here