UMNO Pulau Pinang menolak kerjasama politik dengan Bersatu dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) apabila 13 bahagian Umno negeri itu membawa usul berkenaan dalam mesyuarat perwakilan bahagian masing-masing, hari ini.
Pengerusinya, Datuk Musa Sheikh Fadzir berkata, Umno negeri sebaliknya akan mengukuhkan kerjasama dengan PAS menerusi Muafakat Nasional (MN) serta parti-parti lain dalam usaha merampas semula pentadbiran negeri daripada DAP.
Dengan keputusan itu juga, katanya, Umno Pulau Pinang akan bertanding di semua kerusi parti itu sebelum ini tetapi menjadi milik Bersatu selepas wakilnya melompat parti.
“Kita menilai Bersatu masih berdendam dengan Umno dan kita juga rasa seperti ditikam dari belakang sedangkan parti ini sudah banyak bertolak ansur.
“Kesabaran kami ada had dan ahli-ahli akar umbi juga melihat dan marah dengan situasi ini,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Bukit Mertajam.
Musa yang juga Ketua Umno Bukit Mertajam berkata, keputusan tidak bekerjasama secara politik dengan Bersatu bukan sesuatu yang baru sebaliknya sudah diputuskan Biro Politik dan Majlis Kerja Tertinggi Umno sebelum ini.
“Tetapi malangnya ada pemimpin Umno sendiri yang membuat kenyataan mengelirukan berkenaan perkara ini sehingga menyebabkan ahli-ahli akar umbi dan rakyat keliru,” katanya.
Ketika ini, Bersatu di Pulau Pinang memiliki satu kerusi Parlimen iaitu Tasek Gelugor dan empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Bertam; Seberang Jaya; Teluk Bahang dan Sungai Acheh. – Malaysiapost

