SETIAUSAHA Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan menyarankan Pilhan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan segara demi kestabilan politik negara
Beliau berkata, ini kerana kerajaan Perikatan Nasional (PN) kini adalah sebuah kerajaan yang mempunyai majoriti paling tipis di dunia selain vaksin Covid-19 telah dijumpai serta bakal diperolehi negara.
“Oleh kerana kerajaan PN mempunyai majoriti paling tipis di dalam dunia kita mengesyorkan agar diadakan pilihan raya umum secepat mungkin.
“Sebab kedua ialah kerana vaksin Covid-19 telah ada dan kita akan divaksinkan pada bulan hadapan. Saya harap vaksin itu diawalkan lagi bagus.
“Jadi atas dua sebab itu saya kira eloklah kestabilan politik dikembalikan dan jangan jadikan Covid-19 sebagai alasan untuk kita menunda apa yang sepatutnya dilakukan. Apabila telah sampai vaksin, tiada lagi alasan untuk menjadikan Covid-19 halangan untuk pilihan raya umum,” katanya.
Ahmad yang juga Timbalan Ketua Umno Bahagian Pontian sebelum itu merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pemuda Umno Bahagian di Dewan Orang Ramai Ayer Baloi, hari ini.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Pontian juga menegaskan bahawa kestabilan politik penting untuk pengukuhan ekonomi negara.
“Sebelum ini segala pelabur yang datang ke Malaysia ini meletakkan kestabilan politik sebagai sebab utama mereka datang.
“Sekarang ini Malaysia tiada lagi kestabilan politik sebab itu mereka keluar dari tempat kita atau mereka tidak singgah langsung pun di Malaysia.
“Mereka pergi ke rantau kita yang politiknya jauh lebih stabil dari kita,” katanya. – Malaysiapost

