Umno Pagoh tak beri laluan pada Muhyiddin

0
2

KETIKA Umno Johor sedia memberi laluan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin mempertahankan kerusi Parlimen disandang Presiden Bersatu itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Umno Pagoh pula berpendirian sebaliknya.

Ia menyusul selepas Ketua Penerangan Umno Johor, Datuk Seri Dr Adham Baba siang tadi menyatakan cadangan memberi laluan kepada Muhyiddin untuk terus bertanding di Pagoh telah disampaikan kepada pucuk pimpinan parti baru-baru ini.

Mengulas mengenainya, Ketua Umno Pagoh, Ismail Mohamed berkata Umno Bahagian itu sebulat suara enggan memberi laluan kepada Muhyiddin yang juga Perdana Menteri mempertahankan kerusi Parlimen tersebut.

Beliau berharap pendirian itu yang diputuskan dalam Mesyuarat Perwakilan Umno bahagian hari ini, dapat didengari kepemimpinan tertinggi parti.

“Saya harap mereka (Majlis Tertinggi Umno) dapat mendengar kami dan membenarkan Umno Pagoh bertanding di kerusi Parlimen dan dua DUN (di bawahnya).

“Kami menghormati keputusan Umno negeri tetapi kami harap mereka juga menghormati pendirian kami,” katanya seperti dipetik Free Malaysia Today malam ini.

Siang tadi, Dr Adham selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Wanita Umno Bahagian Tenggara di Kota Tinggi dilaporkan berkata Muhyiddin seharusnya diberi laluan untuk kekal bertanding di Pagoh.

Ini kerana, katanya, pengalaman dan kecekapan Muhyiddin dalam mengendalikan negara, terutama wabak Covid-19 dan usaha kerja Perdana Menteri wajar diiktiraf.

Dua lagi kerusi DUN di Pagoh ialah Bukit Kepong dan Bukit Pasir, yang masing-masing dimenangi Bersatu dan PAS pada PRU14 lalu menewaskan calon Barisan Nasional (BN).

Muhyiddin menjadi Ahli Parlimen Pagoh sejak 1978 ketika bersama BN dan mempertahankannya pada PRU14 ketika bertanding atas tiket Pakatan Harapan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here