MANGSA banjir di Johor meningkat kepada 5,818 mangsa membabitkan 1,540 keluarga dengan 56 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di tujuh daerah, setakat jam 7.30 pagi tadi.
Jumlah itu meningkat mendadak berbanding malam tadi iaitu 1,780 mangsa daripada 500 keluarga dengan 28 PPS dibuka di lima daerah.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan, berkata tujuh daerah paling terjejas ialah Kluang, Kota Tinggi, Johor Bahru diikuti Kulai, Batu Pahat, Mersing dan Pontian.
Beliau berkata, peningkatan paling ketara berlaku di Kluang apabila mencatatkan peningkatan PPS kepada 19 berbanding hanya 12, malam tadi.
Katanya, mangsa banjir di Kluang meningkat kepada 1,826 orang daripada 545 keluarga pagi ini berbanding 698 orang daripada 206 keluarga, malam tadi.
“Mangsa banjir di Kota Tinggi turut melonjak kepada 868 orang daripada 221 keluarga di 14 PPS, pagi ini berbanding hanya 286 daripada 66 keluarga di tujuh PPS, malam tadi.
“Johor Bahru juga melonjak dengan 2,452 orang daripada 593 keluarga di 13 PPS, berbanding hanya 690 daripada 189 keluarga ditempatkan di enam PPS, malam tadi.
“Begitu juga Kulai meningkat kepada 581 mangsa daripada 156 keluarga di lima PPS pagi ini berbanding 99 mangsa membabitkan 25 keluarga di dua PPS, malam tadi.
“Batu Pahat juga menokok kepada 28 mangsa daripada 10 keluarga di dua PPS pagi ini, berbanding hanya tujuh daripada empat keluarga ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Bulan, Yong Peng, malam tadi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sementara itu, Vidyananthan berkata, dua daerah terbaharu terjejas banjir adalah Mersing dan Pontian.
Katanya, Mersing memindahkan 57 mangsa daripada 14 keluarga di dua PPS manakala Pontian memindahkan enam sekeluarga di PPS Dewan Masjid Kampung Ulu Pulai, sejak lewat malam tadi. – Malaysiapost

