EPL: Arsenal catat kemenangan bergaya

0
1

ARSENAL bukan lagi pasukan budak tadika selepas mencatat kemenangan bergaya awal pagi tadi.

Mikel Arteta melihat prospek musim Arsenal kini “sudah berbeza” selepas membelasah West Brom 4-0 untuk melengkapkan tiga kemenangan Liga Perdana dalam lapan hari.

Sebelum perlawanan minggu lalu, Gunners melalui lapan perlawanan liga tanpa kemenangan dan bergelut di kelompok bawahan liga.

Namun sembilan mata penuh membantu Arsenal kembali merebut tempat ke saingan Eropah ketika mereka kini di kedudukan ke-11 dan hanya tiga mata daripada kelompok enam teratas.

“Saya sangat gembira kami berjaya mencapai sasaran kerana kedudukan liga tampak sama sekali berbeza,” kata Arteta yang mendapati jawatannya berdepan ancaman hanya selepas empat bulan menang Piala FA.

“Tenaga yang kami ada di semua bahagian lebih bagus dan kemenangan membawa lebih banyak keyakinan. Anda boleh lihat hari ini cara pasukan bermain.”

AFP melaporkan West Brom masih belum menang dalam empat perlawanan sejak Sam Allardyce memgambil alih dan bekas pengurus England itu perlu pantas memperkuatkan pertahanan jika mahu selamat.

Skuad Baggies mengejutkan Manchester City dan Liverpool dengan keputusan seri 1-1 sebelum ini namun melepaskan 12 gol dalam tiga pertemuan dipimpin Allardyce di laman sendiri.

Gol Arsenal dijaringkan Kieran Tierney pada minit ke-23, Bukayo Saka (28) diikuti dua gol Alexandre Lacazette masing-masing pada minit ke-60 dan 64. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here