Batal HSR: Pemuda Umno desak kerajaan PN beri penjelasan lebih kukuh

0
2

PEMUDA Umno menzahirkan rasa kecewa atas keputusan kerajaan Malaysia dan Singapura membatalkan Projek Rel Berkelajuan Tinggi atau High Speed Rail (HSR) menghubungkan Kuala Lumpur dan negara jiran itu.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata pembatalan projek infrastruktur berimpak tinggi dan mempunyai kesan gandaan ekonomi seperti HSR adalah langkah ke belakang dan ‘counter-productive’  dalam usaha pemulihan ekonomi pasca Covid-19.

Katanya, tindakan kerajaan itu adalah satu kegagalan besar (big blunder) awal bagi tahun 2021 kerana ia ternyata menongkah arus tren pembangunan ekonomi semasa negara-negara jiran di rantau ini.

Beliau memberi lima sebab utama mengapa keputusan membatalkan projek HSR adalah satu kesilapan dan kegagalan:

1. Malaysia dianggarkan akan kehilangan RM209 bilion dalam pendapatan kasar negara (PNK) dan potensi 70,000 peluang pekerjaan. Pusat Penyelidikan Institute of Developing Economies, Japan External Trade Organisation (IDE-JETRO) turut menyatakan HSR akan memberi impak nilai US$1 billion (RM4 bilion) terhadap ekonomi kepada Malaysia setiap tahun.

2. Pembatalan HSR akan menjejaskan visi besar untuk mentransformasi ekonomi negara ke arah ekonomi berpendapatan tinggi yang bakal dinikmati rakyat dengan pembukaan kluster-kluster pembangunan baharu sepanjang jajaran HSR melalui konsep Pembangunan Berasaskan Transit (Transit Oriented Development). Bayangkan kemajuan yang bakal terhasil di kawasan seperti Putrajaya, Seremban, Melaka, Muar, Batu Pahat dan Iskandar Puteri selepas ini.

3. Sejurus HSR siap dibina, ia bakal mengurangkan tempoh perjalanan antara dua negara sehingga 90 minit, sekali gus dapat mengurangkan kesibukan aliran trafik udara antara dua negara ini. Mengikut rekod perjalanan udara antara Malaysia dan Singapura adalah antara aliran udara tersibuk di dunia dengan lebih 30,000 penerbangan dicatatkan pada 2017.

4. Pembatalan projek ini juga akan memberi isyarat salah kepada pelabur domestik dan asing bahawa Malaysia tidak komited terhadap perancangan pembangunan negara dan serantau. Ini bakal merencat kemasukan pelaburan baharu yang akan memberi manfaat dan nilai tambah kepada ekonomi rakyat dan negara.

5. Projek HSR adalah penanda aras utama kemajuan dan pembangunan di rantau Asean. Jika dilaksanakan, projek ini menjadi laluan rel kereta api berkelajuan tinggi rentas sempadan pertama di rantau ini. Laporan Infrastruktur Global 2016 pernah menilainya sebagai projek infrastruktur strategik terbaik di dunia dari segi sumbangan terhadap produktiviti, daya saing, dan kesinambungan ekonomi serantau.

Justeru, Asyraf Wajdi berkata, Pemuda Umno mendesak agar kerajaan tampil memberi penjelasan yang lebih kukuh berbanding alasan simplistik kerana pandemik Covid-19.

“Pemuda Umno juga menuntut kerajaan menjelaskan kebenaran berita yang tular di media massa bahawa projek ini bakal diganti dengan melantik secara rundingan terus kepada sebuah syarikat kroni swasta di atas jajaran HSR yang tamat di Johor Bahru sahaja tetapi dengan kos hampir sama,” katanya menerusi kenyataan hari ini. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here