Nurul Huda Abhar
SEMPENA kedatangan tahun 2021, ramai pemilik akaun media sosial mengambil peluang memuat naik gambar dan hantaran sebagai ucapan Selamat Tahun Baharu.
Tidak ketinggalan, bekas isteri pelakon Fizo Omar, Mawar Karim memuat naik gambarnya di Instagram (IG), namun yang menjadi teka-teki adalah pemilik tangan lelaki misteri yang turut ada dalam foto terbabit.
Dalam gambar itu, Mawar seperti ingin menyambut tangan lelaki misteri tersebut, yang memberi gambaran seperti hatinya kini sudah diisi oleh pengganti bekas suaminya.
“Untuk 2021, saya hanya mahu lebih cabaran, berhubung dengan orang yang baik-baik, belajar perkara posititif yang baharu dan lebih kuat. Selamat tinggal 2020. Selamat Tahun Baru 2021,” tulisnya.
Namun begitu, Mawar enggan mendedahkan siapakah pemilik tangan misteri tersebut dan membiarkan persoalan pengikutnya di IG.
Pada masa sama, menerusi Insta Story, seorang pengikut bertanya soalan adakah Mawar telah menemui pengganti Fizo.
“Tiada istilah pengganti dalam perhubungan. Bagi saya, bukan macam baju boleh tukar ganti.
“Dalam perhubungan bukan senang nak jumpa soulmate yang betul-betul ikhlas dengan kita kerana Allah,” jawab Mawar lagi.

Mawar juga menolak untuk menjawab soalan mengenai adakah dirinya akan kembali semula kepada bekas suaminya.
“Maaf soalan itu terlalu peribadi saya tak boleh jawab. Benda dah lepas tak perlu dipersoalkan, diulang lagi.
“Terima kasih kalian yang sentiasa memahami saya. Wanita kena kuat dan terus survive. Hanya orang yang lalui fasa perkahwinan dan penceraian sehaja memahami apa yang dilalui,” ujarnya.
Mawar dan Fizo mendirikan rumah tangga pada November 2013 dan mempunyai seorang anak perempuan, Wan Maryam yang kini berusia empat tahun.
Pasangan itu bagaimanapun mengambil keputusan untuk bercerai pada Julai 2019. – Malaysiapost

