MANCHESTER United memulakan tahun baharu 2021 dengan kemenangan kontroversi 2-1 ke atas Aston Villa dalam saingan Liga Perdana awal pagi tadi.
Meskipun mencatat kemenangan tipis, anak buah Ole Gunnar Solskjaer masih menagih ihsan penalti untuk mendapatkan gol kemenangan dalam perlawanan itu.
Perkara itu tidak dinafikan pengurus Villa, Dean Smith yang mengecam mutu pengadilan lemah dan kegagalan menggunakan video bantuan pengadil (VAR) dengan baik telah membantu kemenangan United.
“Michael Oliver seharusnya diminta untuk melihat rakaman insiden tersebut, kerana itulah tujuan VAR, untuk melihat insiden seperti itu.
“Itu bukannya penalti, selepas saya melihat semula rakaman sesudah tamat perlawanan.”
“Ketika perlawanan memang saya tidak meragui itu penalti. Pogba tersepak kaki sendiri dan terjatuh,” katanya.
Sementara itu pemain Villa, Douglas Luiz pula berang terhadap keputusan VAR menghadiahkan penalti seperti itu yang boleh menghancurkan masa depan pasukan lain.
“Saya sudah lihat video itu dan saya tak percaya bagaimana ia boleh penalti, saya sentiasa menyokong bola sepak lebih adil, kurang kesilapan. Kemudian saya tergamam kerana ternampak gerakan seperti ini.
“Jika kita ada VAR untuk menolong, mari mula menggunakannya dengan betul. Kesilapan sebegini boleh menentukan masa depan pasukan,” katanya yang turut memuat naik video insiden itu di Twitter miliknya.
Dalam perlawanan yang berlangsung di Old Trafford itu, United mendahului hasil jaringan Anthony Martial lima minit sebelum tamat babak pertama.
Namun, Villa menyamakan kedudukan menerusi Bertrand Traore hasil umpanan cantik Jack Grealish pada minit ke-58.
Kelegaan Villa itu hanya bertahan tiga minit, apabila United sekali lagi di hadapan hasil sepakan penalti kontroveri Bruno Fernandes.
Kedudukan 2-1 kekal sehingga tamat permainan, sekali gus melonjak Red Devils untuk berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan juara bertahan, Liverpool dengan pungutan 33 mata daripada 16 perlawanan.
Bagaimanapun Liverpool masih memimpin carta EPL kerana jurang perbezaan gol lebih besar berbanding United. – Malaysiapost

