SEMBILAN mangsa melibatkan dua wanita, tiga remaja, tiga kanak-kanak termasuk seorang bayi lelaki berusia empat bulan maut dalam tragedi kenderaan pacuan empat roda (4WD) terhumban ke dalam Sungai Batang Lupar di Jeti Feri Friso, Sarawak, kira-kira jam 3 petang tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, mereka dikenal pasti sebagai Ronany Ting, 33, yang memandu 4WD itu serta penumpang, Siti Aisha Abdullah, 36.
Turut terkorban, Nor Shuhada Mohamad, 16; Khairunnisa Muhamad, 14; Alvin Phang, 12 dan tiga kanak-kanak lelaki iaitu Wallace Phang,7; Mohd Aiman Mohd Hamdan, 7; dan Muhd Mustaqim Mohd Hamdan, 5.
Bayi lelaki itu pula dikenal pasti sebagai Mohd Ahmad Mohd Hamdan.
“Pengesahan kematian mangsa dibuat oleh pegawai perubatan di Klinik Kesihatan Beladin,” katanya seperti dilaporkan Bernama.
Difahamkan, sembilan sekeluarga itu dalam perjalanan menghantar seorang daripada mereka ke Kuching untuk mengikuti pengajian tahfiz.
Menurut jurucakap itu, semua mangsa yang mempunyai pertalian kekeluargaan dipercayai dalam perjalanan dari Sibu, kira-kira 200 km dari lokasi tragedi, ke bandar raya Kuching sebelum kejadian.
“Punca kejadian kemalangan kenderaan tersebut masih dalam siasatan,” katanya.
Feri Triso merupakan perkhidmatan penghubung kepada projek jalan pesisir Sarawak dikenali sebagai Sarawak Second Trunk Road merentasi beberapa batang sungai yang lebar dan menjadi pilihan pengguna jalan raya di negeri itu berikutan pembinaan Lebuhraya Pan Borneo yang belum siap.
Jarak antara tebing ke tebing Sungai Batang Lupar, di mana Feri Triso itu beroperasi kira-kira lima kilometer dan projek bagi membina sebuah jambatan merentasi sungai berkenaan sedang dilaksanakan kerajaan Sarawak. –
Malaysiapost

