SATU keluarga terpalit masalah ‘Along’ gara-gara membeli rumah dengan ‘penghutang’ terbabit.
Dalam perkongsian menerusi Facebook, Huda Muhamad yang merupakan mangsa berkata, beliau dan suami gembira apabila akhirnya dapat membeli sebuah rumah dengan titik peluh sendiri.
Bagaimanapun, ia menjadikan mimpi ngeri bagi mereka apabila ‘tuan rumah’ bernama Chang Kok Foong berhutang dengan Along dan menggunakan alamat rumah itu.
“Tak tahu nak mulakan macam mana, sebab ini kali pertama saya kongsikan kisah perit yang mengganggu kami berlarutan dari tahun 2018 sehingga sekarang.
“Baru ada kekuatan untuk berkongsi masalah, dan kekuatan ini hadir jua sebab dah tak tahan menanggung rasa sangat tertekan, risau, takut dan tidak tenang.
“Selagi si penipu ini masih membuat kerja-kerja jahat dengan menggunakan kami sebagai mangsa,” katanya.
Huda berkata, pihak berkuasa yang sepatutnya menyelesaikan masalah itu pun tidak dapat membantu.
“Saya kini mengalami irregular palpitations. Jantung berdebar-debar. Macam rasa jantung ditusuk benda tajam.
“Migrain selalu bertandang siang dan malam. Resah dan takut usah diceritakan.
“Duduk di rumah sendiri hasil titik peluh kami suami isteri, namun jiwa kami bak pelarian diburu tentera zalim,” katanya.
Beliau kemudian berkongsi gambar ngeri itu dengan semua pihak.
“Bila tengok nanti, pasti ramai tertanya. “Apa kes sampai rumah dan kereta saya disimbah cat..suami ada hutang dengan Along ke?,” soalnya.
Beliau berkata, mereka sekeluarga adalah mangsa kepada seorang bekas pemilik rumah berkenaan yang menggunakan alamat rumahnya untuk Along mengutip hutang.
Justeru, dengan keadaan tertekan dan memikirkan soal keselamatan anaknya, beliau dan suami membuat keputusan untuk menyiarkan atau viral penipu itubagi membantu mereka menyelesaikan masalah berkenaan.
Beliau berkata, melalui posting di Facebook itu juga bertujuan memberitahu kepada Along bahawa mereka tiada kena mengena dengan isu hutang penipu tersebut. -Malaysiapost


