DUTA Besar Republik Rakyat China ke Malaysia, Ouyang Yujing menjanjikan tahun baharu 2021 ini, kedua negara bekerjasama mencipta peluang serta pembangunan baharu dalam Rancangan Lima Tahun (FYP) ke-14.
Yujing berkata, hubungan beliau dengan Malaysia sudah lama terjalin sejak kunjungi negara ini beberapa kali pada masa dahulu.
“Saya kagum dengan negara ini yang penuh dengan tenaga, keindahan alam sekitar, kepelbagaian budaya dan rakyat ramah mesra, semuanya meninggalkan kenangan manis kepada saya.
“Ketika itu, saya tidak sangka cerita saya dengan Malaysia akan dilanjutkan selepas beberapa tahun kemudian.
“Saya ingat pada 2014, panda gergasi Xing Xing dan Liang Liang yang melambangkan persahabatan China-Malaysia telah tiba di Malaysia dari Sichuan, China untuk menjalani kehidupan baharu di luar negeri sendiri,” katanya menerusi Facebook.
Katanya, beliau dimaklumkan, pasangan panda itu telah melahirkan dua anak iaitu Nuan Nuan dan Yi Yi dalam masa enam tahun dan Malaysia memang tanah bertuah.
Mengulas lanjut, beliau berkata, sepanjang enam tahun ini, kerjasama strategik komprehensif China-Malaysia berkembang secara subur lagi sihat seperti panda itu, kerjasama pragmatik antara kedua negara yang merangkumi pelbagai bidang membuahkan banyak hasil.
“Beberapa tahun lalu, saya mungkin hanya seorang pelawat kepada Malaysia.
“Beberapa tahun kemudian, saya diberi amanah untuk memegang jawatan Duta Besar China ke Malaysia yang ke-16 dan memikul tanggungjawab untuk mewaris dan memperkembangkan persahabatan China-Malaysia,” katanya.
Kata beliau, memandangkan tahap hubungan China-Malaysia yang sedia ada, amanah ini adalah sesuatu kehormatan besar baginya.
“Di samping itu, saya juga sedar akan tanggungjawab dan tekanan yang berada di bahu saya.
“Perubahan situasi global dan wabak Covid-19 sedang berlaku, ketidaktentuan pembangunan dunia telah membawa cabaran kepada pembangunan dan kestabilan kedua-dua negara kita,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata, harapan berada di sisi cabaran dan mesti mara ke hadapan dengan keberanian.
” Tahun 2021 sudah membuka tirai. Saya mewakili Kedutaan China di Malaysia untuk mengucapkan Selamat Tahun Baru kepada seluruh rakyat Malaysia serta rakan yang memerhati dan menyokong perkembangan hubungan China-Malaysia.
“Saya percaya, tahun baharu akan menyuntik momentum baharu kepada kerjasama yang menang-menang antara China dan Malaysia dan membuka lembaran baharu dalam persahabatan,” katanya.
Beliau berkata, Malaysia pula dalam proses merangka Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) yang akan menjelaskan hala tuju untuk memulihkan ekonomi dan mengembangkan negara.
Katanya, dengan keperluan pembangunan yang selaras, China dan Malaysia merupakan sepasang rakan yang serasi.
“Sebagai negara jiran yang mesra kepada China dan rakan kerjasama dalam Inisiatif Jalur dan Laluan (B&R), Malaysia pasti akan mendapat manfaat daripada pembangunan China dalam bentuk peningkatan pelaburan dan peluang, dan juga berkongsi hasil pembangunan China.
“Pada era pasca pandemik, e-dagang, ekonomi Internet, ekonomi digital, kecerdasan buatan (AI) dan sebagainya akan menjadi bidang serba baharu mendorong kerjasama China-Malaysia.
“Bersama-sama kita akan membina hari esok yang lebih indah untuk hubungan,” katanya -Malaysiapost

