Rakyat Malaysia tak terlibat buat video hina Indonesia

0
2

POLIS mengesahkan tiada warga negara Malaysia terbabit dalam pembikinan video yang menghina lagu kebangsaan Indonesia.

Sebaliknya, Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, penyuntingan video itu disyaki dibuat di Indonesia oleh warga negara republik itu sendiri.

Abdul Hamid berkata, hasil siasatan polis, maklumat itu diperoleh daripada soal siasat terhadap seorang buruh warga Indonesia berusia lingkungan 40-an di Sabah yang juga merupakan salah seorang suspek kes itu.

“Suspek itu ditahan di Sabah, pada Isnin lepas dan PDRM menemui petunjuk baharu dalam penyiasatan kes berkenaan.

“Ya, PDRM dapat petunjuk baharu bahawa pelakunya dikatakan berasal dari negara seberang (Indonesia) dan kami sedang menyoal siasat untuk mendapatkan maklumat lanjut pengakuannya siapa yang sunting video itu,” katanya kepada media di Bukit Aman, hari ini.

Abdul Hamid berkata maklumat itu telah dikongsikan kepada pihak Polisi Republik Indonesia (POLRI) kerana kedua-dua pihak berkuasa negara mengambil serius tentang perbuatan berkenaan dan suspek utama akan diketahui dalam masa terdekat.

“Dalam kes terbaharu ini, ada manusia durjana yang tidak bertanggungjaawab dan bermotif jahat telah memperlekehkan lagu kebangsaan Indonesia Raya.

“Parodi ini menimbulkan kemarahan rakyat Indonesia dan saya memberi jaminan bahawa satu tindakan drastik telah diambil oleh Jabatan Siasatan Jenayah iaitu menubuhkan satu pasukan khusus telah diterbangkan ke Sabah pada semalam untuk menjejaki pelaku-pelaku ini,” katanya.

Tegas Abdul Hamid, sebarang perbuatan atau tindakan yang mengaibkan kehormatan sesebuah negara itu merupakan kesalahan yang amat berat.

“Insya-Allah apabila tertangkapnya suspek, kita akan adili dan mendakwanya di mahkamah untuk menerima hukuman setimpalnya.

“Saya memberi amaran kepada rakyat Malaysia supaya tidak meneruskan aktiviti terkutuk ini dan (perbuatan) yang menimbulkan perasaan sakit hati dalam kalangan rakyat negara jiran kita dihentikan,” katanya.

Satu video dimuat naik dua minggu lepas oleh individu tidak bertanggungjawab di ruang komen di laman YouTube My Asean, memaparkan lirik lagu kebangsaan Indonesia, Indonesia Raya, disunting bagi tujuan menghina Indonesia. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here