KERAJAAN perlu memberi fokus kepada dua keutamaan tahun hadapan iaitu isu vaksinasi Covid-19 dan pemulihan ekonomi serta pembukaan sempadan.
Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata kerajaan perlu menyegerakan pemberian vaksinasi Covid-19 setiap rakyat Malaysia walau di mana mereka berada.
“Pertama ialah vaksinisasi setiap seorang rakyat Malaysia. Ia mesti disegerakan tanpa berlengah, kepada semua warga walau di pelusuk daerah geografi mana pun mereka berada.
“Ia akan menjadi ‘a huge medical and logistical challenge’ kepada Kerajaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, kerajaan juga wajar mempertimbangkan prosedur proses kelulusan kecemasan untuk penggunaan vaksin Covid 19 seperti negara lain tanpa kompromi kepada kepentingan kesihatan dab keselamatan umum.
“Proses ‘conditional approval’ yang ada adalah tidak selari dengan kepantasan kelulusan kecemasan global.
“Kita tidak pernah berpengalaman melakukan perkara sebegini tetapi dengan teknologi, dedikasi dan semangat patriotik kepada Malaysia, inshaAllah kita boleh melakukanya. Ikhtiar vaksinasi nasional ini adalah ‘litmus test’ kepadakewibawaan Kerajaan,” katanya.
Dalam pada itu, Mohamad berkata, perkara kedua adalah menyegerakan pemulihan ekonomi dan membuka sempadan.
“Tahun 2020 telah banyak dibazirkan dengan ‘politicking’. Tahun 2021 adalah ‘time to seriously govern’,” katanya.
Beliau berkata, segala unjuran optimistik yang diumumkan mesti segera diterjemahkan dalam bentuk pemulihan dan pertumbuhan ekonomi yang nyata.
“Lakukan apa jua tindakan radikal bagi merancakkan kegiatan ekonomi kerana kesejahteraan rakyat sangat bergantung kepadanya.
“Pemulihan ekonomi juga memerlukan sempadan antarabangsa dibuka. Plan kearah itu mesti segera disediakan kerana Malaysia adalah ‘antara negara paling global’ di dunia. Kita tidak boleh hidup ‘terasing’ sebegini terlalu lama
“Keadaan ini harus berakhir. Tiada pertumbuhan ekonomi, pemulihan yang nyata dan pelaburan asing dan domestik yang ‘significant’ tanpa kestabilan politik dan Kerajaan yang diyakini,” katanya.
Beliau berkata, Malaysia pada tahun 2020 telah hilang status-quo dalam pelbagai sektor kehidupan, kesejahteraan sosial dan ekonomi.
“Kita mesti segera mengembalikan Malaysia ke persada percapaian terdahulu dan menjadi lebih baik.
“Mari kita berazam menjayakan Malaysia yang lebih baik pada 2021 InshaAllah,” katanya. -Malaysiapost

