Malaysia tutup tahun 2020 dengan rekod tertinggi Covid-19

0
1

TADBIR tahun 2020 disingkap dengan catatan rekod baharu jumlah kes harian positif Covid-19 di negara apabila mencatatkan sebanyak 2,525 kes.

Daripada jumlah itu, Selangor melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 1,205 kes (47.7 peratus), daripada jumlah itu, sebanyak 995 kes (82.6 peratus) adalah daripada kluster-kluster dan saringan kontak rapat Covid-19 yang aktif dijalankan di lapangan. 

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata daripada jumlah keseluruhan yang dicatatkan itu, sebanyak 13 kes adalah membabitkan jangkitan di luar negara.

“Sebanyak 304 kes (12.0 peratus) yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster-kluster di lokap, depot tahanan imigresen, dan penjara yang membabitkan Kluster Penjara Jalan Harapan (285 kes), Kluster Pagar Siput (8 kes), Kluster Tembok Mempaga (5 kes), Kluster Pagar Bentong (2 kes), Kluster Tembok Gajah (1 kes), Kluster Tembok (1 kes), Kluster Kolam Air (1 kes), dan Kluster Penjara Seberang Perai (1 kes),” katanya dalam kenyataan.

Selain Selangor, Sabah mencatatkan 299 kes, Melaka (239), Kuala Lumpur (222), Johor (194), Pulau Pinang (92), Negeri Sembilan (78), Labuan (63), Kelantan (37), Perak (33), Kedah (24), Terengganu (17), Pahang (15), Putrajaya (5) dan Sarawak (2).

Dr Noor Hisham berkata, sehingga kini, terdapat 131 kes positif sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), dengan 60 kes memerlukan bantuan pernafasan.

“Dukacita dimaklumkan terdapat pertambahan lapan kes kematian pada hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 471 kes (0.42 peratus daripada jumlah keseluruhan kes),” katanya.

Berdasarkan kenyataan itu, kematian membabitkan mangsa berusia 39 hingga 79 tahun yang kesemuanya adalah warganegara dengan mempunyai latarbelakang penyakit kronik. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here