Misteri ketukan pintu makin mengganas, baling barang, tutup suiz lampu rumah

0
1

SEBUAH keluarga di Taman Temerloh Jaya, Pahang, trauma selepas diganggu misteri ketukan pintu yang menyeramkan termasuk melibatkan gangguan fizikal.

Difahamkan, kejadian ketukan itu berlaku selama tiga malam bermula 27 Disember lalu membabitkan rumah didiami seorang ibu tunggal orang kurang upaya (OKU) bersama tiga anaknya.

Lebih menyeramkan apabila gangguan itu turut melempar dan menyepahkan barangan serta menutup suis lampu rumah keluarga itu.

Penduduk, Saiful Affendi Ismail, 44, berkata gangguan ketukan selama tiga malam di rumah dua tingkat itu sampai ke kemuncak apabila berlaku gangguan membaling barang-barang dan menutup lampu.

Katanya, keluarga itu turut meminta bantuan pengamal perubatan Islam kerana tidak tahan dengan gangguan terbabit.

“Sepanjang saya membantu pengamal perubatan ini saya tidak pernah jumpa keadaan begini yang mana saya hampir-hampir terkena balingan sebotol air mineral ketika sedang membaca ayat al-Quran di dalam rumah.

“Malah pada malam itu, ketika kami keluar dari kawasan rumah berlaku ketukan kuat, diikuti dengan kejadian membaling barang-barang dan menutup suis lampu menyebabkan penghuni rumah menjerit ketakutan,” katanya seperti dilaporkan Utusan.

Menurut Saiful Affendi, rumah berkenaan dihuni seorang ibu tunggal OKU yang tidak dapat berjalan bersama tiga orang anaknya yang berumur 18 dan 12 tahun serta anak angkat berusia empat tahun.

Beliau memberitahu, berdasarkan kepada cerita mangsa menyatakan ketukan bermula pada 27 Disember diikuti 28 Disember sekitar pukul 11 malam.

Katanya, ketukan pintu itu kemudiannya berlaku lagi pada malam ketiga seawal pukul 9 malam yang diikuti dengan gangguan membaling barang dan menutup lampu rumah sebelum gangguan berhenti pada pukul 3 pagi.

Dalam pada itu, beliau berharap netizen tidak mengeluarkan komen negatif terhadap keluarga berkenaan dengan tuduhan membela hantu dan sebagainya yang menyebabkan keluarga berkenaan semakin tertekan.

“Pada masa ini gangguan telah tiada dan ketakutan keluarga berkenaan semakin kurang cuma mereka berasa tertekan dengan tuduhan negatif netizen dalam media sosial,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here