Pesta dadah: 23 ditahan termasuk remaja bawah umur

0
1

EMPAT remaja bawah umur antara 23 individu ditahan polis ketika menyertai pesta persendirian yang dianjurkan selepas menyewa sebuah inap desa dekat Taman Seri Kota, Jalan Kuala Kedah, Alor Setar, pagi tadi.

Dalam serbuan jam 3.30 pagi itu, lima daripada mereka adalah perempuan, manakala 18 lagi lelaki, kesemuanya berusia di antara 15 hingga 28 tahun.

Serbuan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah diketuai Asisten Superintendan Rosli Hanafi dan turut dibantu JSJ Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar.

Ketika serbuan dilakukan, rumah yang terletak di bahagian belakang kawasan perumahan itu diterangi lampu, malah bagaikan pusat hiburan dengan muzik, selain disyaki turut membawa barangan terlarang.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Senior Asisten Komisioner Sapii Ahmad, berkata, empat remaja bawah umur yang ditahan, masih bersekolah masing-masing seorang dalam Tingkatan Tiga, manakala tiga lagi dalam Tingkatan Lima.

Beliau berkata, hasil ujian saringan awal air kencing mendapati 17 lelaki dan tiga perempuan yang ditahan itu positif dadah.

“Berikutan itu, kes diserah pada bahagian narkotik untuk diambil tindakan lanjut.

“Mereka dikenakan tindakan mengikut Seksyen 22 B Akta 342 dan Peraturan 11 (Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit Langkah-langkah Tempatan Jangkitan 2020),” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.

Sapii berkata, kompaun RM1,000 dikeluarkan terhadap setiap seorang kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Katanya, kesemua mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar untuk laporan tangkapan sebelum menjalani ujian saringan air kencing.

Seorang pemuda berusia 21 tahun yang ditahan mengaku menyewa inap desa itu pada harga RM350 untuk satu malam dan berkongsi bayaran RM35 seorang dalam kalangan 10 rakannya yang lain.

Dia mendakwa bahawa lapan lagi lelaki yang ditahan di inap desa itu adalah kenalan rakan-rakannya yang datang untuk melepak di situ.

“Kenalan mereka ada yang bawa pasangan masing-masing, mereka buat hal sendiri, saya hanya jaga bahagian sewa rumah saja.

“Ini adalah kali pertama saya mai (datang) sini…tak sangka ditahan polis,” katanya. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here