PENGURUS Madrasah, Syamsul Zaman Sukri atau lebih dikenali sebagai ‘Ustaz budak’ mengaku tidak bersalah atas tiga lagi pertuduhan jenayah seksual di Mahkamah Majistret Machang dan Mahkamah Sesyen Kota Bharu, Kelantan hari ini.
Di Mahkamah Majistret Machang, tertuduh berusia 32 tahun didakwa melakukan kelucahan melampau terhadap seorang bekas pelajar lelaki berusia 22 tahun dengan memegang dan menggosok kemaluan mangsa.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Kampung Awah, Machang, Kelantan pada Mei 2018.
Bagi pertuduhan itu, beliau didakwa mengikut Seksyen bawah Seksyen 377D Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Hajarul Falenna Abu Bakar di hadapan Majistret Amal Razim Alias.
Tertuduh diwakili peguam Shaharuddin Mohamed.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 1 Februari ini sebagai tarikh sebutan semula kes.
Sementara itu di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, Syamsul Zaman berdepan dakwaan melakukan amang seksual terhadap seorang remaja lelaki berusia 15 tahun yang juga bekas pelajarnya.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa dengan maksud seksual meraba remaja itu dengan memegang kemaluan mangsa pada 22 Ogos 2018 kira-kira jam 10 pagi, di sebuah rumah di Kampung Awah, Machang.
Bagi pertuduhan kedua, pada tarikh dan lokasi sama serta mangsa yang sama, tertuduh didakwa dengan maksud seksual membuatkan remaja itu memegang kemaluannya.
Pendakwaan juga dikendalikan Hajarul Falenna di hadapan hakim Shahrul Rizal Majid mengikut Seksyen 14 (a) dan 14 (b) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, dibacakan
bersama Seksyen 16 Akta yang sama.
Jika sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun dan sebatan.
Mahkamah kemudiannya menetapkan jaminan bernilai RM20,000 bagi kedua-dua pertuduhan dan 28 Januari bagi serahan dokumen.
Pada 21 Disember lalu, tertuduh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kota Bharu atas pertuduhan melakukan kelucahan melampau terhadap seorang lelaki di sebuah hotel 16 Disember lalu. -Malaysiapost
Foto Kredit: Bernama
