Isu Feri: ‘Rakyat Pulau Pinang pasti akan sedih dan marah’ – Guan Eng

0
1

Najamuddin Mohd Nor

“KITA sedih dan sakit hati”, itulah luahan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng ketika sedang menikmati ‘pelayaran terakhir’ feri Pulau Pinang hari ini.

Feri di Pulau Pinang bukan sahaja mempunyai nilai sentimental kepada rakyat di negeri ini, malah menurut Ahli Parlimen Bagan itu, penamatan perkhidmatan feri itu sekali gus memusnahkan warisan dan ikon pelancongan negeri.

Meskipun kecewa, bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu berjanji akan berusaha untuk memastikan perkhidmatan feri yang telah banyak berbudi kepada pulau mutiara itu dapat kembali beroperasi pada masa depan.

“Saya pertama kali naik feri ini ketika berumur 8 tahun, masa tu bapa saya membawa saya, perasaan sangat gembira sekali dengan tiupan angin laut, dan merasai perjalanan dibuai laut dalan feri yang unik ini.

“Hari ini kita nak abadikan kenangan ini perjalanan terakhir, tapi sungguh pun kita sedih dan sakit hati feri Pulau Pinang akan dihentikan, tapi jangan putus asa untuk kita akan pulihkan, kembalikan feri Pulau Pinang,” katanya.

Guan Eng yang juga bekas Menteri Kewangan pada zaman pemerintahan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) menyalahkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) susulan keputusan menamatkan perkhidmatan feri Pulau Pinang, hari ini.

“Saya yakin rakyat Pulau Pinang tidak akan lupa apa yang mereka buat. Tidak akan dilupa dan tidak akan dimaafkan kepada mereka yang bertanggungjawab kerana rakyat Pulau Pinang sama dengan seluruh rakyat Malaysia, mereka tidak akan lupa dan tidak akan tinggalkan warisan.

“Ya ia melibatkan kos, sebab itu masa saya jadi Menteri Kewangan saya memperuntukkan bajet RM30 juta untuk perkhidmatan feri ini.

“Kita harap perkhidmatan feri ini dikekalkan, kita bukan minta kerajaan kekalkan semua feri ini, cukuplah dua atau tiga yang dikekalkan, sekarang pun tidak semua beroperasi. Kita nak warisan budaya negeri ini dikekalkan,” katanya.

Mulai 1 Januari ini, semua kereta yang mahu masuk dan keluar dari pulau atau sebaliknya, tidak lagi boleh menjadikan feri sebagai pengangkutan untuk menyeberang.

Ia akan digantikan dengan bot penumpang laju yang hanya membawa pejalan kaki, basikal serta motosikal sahaja.

Susulan penamatan perkhidmatan feri tersebut, Penang Port Sdn Bhd (PPSB) akan mengambil alih operasi bagi perkhidmatan pengangkutan perkhidmatan feri Pulau Pinang itu. -Malaysiapost

Foto Kredit: NSTP

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here