Rasional pemilihan platform jual alat seks kutip zakat?

0
4

Dr Zamihan Mat Zin al-Ghari

PEMILIHAN Shopee sebagai ejen atau saluran bayaran zakat oleh beberapa pihak berkuasa agama telah mencetuskan kontroversi dalam kalangan umat Islam di Malaysia.

Beberapa persoalan dari segi hukum telah mencetuskan perbahasan ilmiah yang mewajarkan pihak berkuasa agama mengkaji semula kedudukan Shopee sebagai ejen zakat.

Ini kerana terdapat banyak persamaan antara peranan amil dan ejen dalam menguruskan zakat dan perbezaannya amat tipis.

1) Persoalan pertama yang harus difikirkan ialah apakah tidak cukup saluran kutipan zakat sedia ada melalui bayaran di kaunter di pejabat zakat, kaunter di pusat membeli-belah, van bergerak, potongan gaji dan transaksi elektronik melalui sistem perbankan Islam dan kutipan melalui amil dilantik?

2) Jika saluran platform online lain diperlukan, Malaysia masih memiliki platform e-wallet seperti Setel yang dimiliki oleh Petronas dan TouchGo eWallet yang patuh/mesra syariah dan diyakini tidak terlibat dengan perniagaan yang jelas haram. Jadi, mengapa platform sebegini tidak dilantik oleh pihak berkuasa agama sebagai ejen zakat?

3) Sebenarnya semua pihak berkuasa agama negeri sudah membangunkan platform online e-zakat patuh syariah sendiri melalui Jompay, FPX dan Migs. Jadi apa kewajarannya untuk melantik Shopee sebagai ejen zakat yang baru?

4) Apakah justifikasi pihak berkuasa agama dalam melantik Shopee selaku syarikat asing yang berpengkalan di Singapura sebagai agen kutipan zakat di negeri tertentu di Malaysia?

5) Siapakah yang membuat kajian tentang Shopee dan bilakah jawatankuasa fatwa sesebuah negeri memfatwakan keharusan menggunakan khidmat syarikat luar negara sebagai ejen zakat di negeri mereka?

6) Jika sesetengah negeri memfatwakan haram mengutip zakat merentasi sempadan negeri lain, maka bagaimana pula halnya dengan tindakan melantik syarikat luar negara sebagai ejen zakat di sebuah negeri?

7) Apakah wujud dalil syarak bagi membenarkan syarikat yang dikuasai bukan Muslim untuk dilantik sebagai ejen zakat bagi menguruskan harta ekslusif Muslim? Bukankah firman Allah dalam surah al-Taubah ayat 60 menjelaskan bahawa hanya Muslim sahaja sepatutnya dilantik sebagai amil atau ejen menguruskan zakat?

8) Setelah Shopee dilantik sebagai ejen zakat, apakah status akaun perbankan yang digunakan Shopee? Apakah ia menggunakan sistem perbankan konvensional yang melibatkan unsur ribawi?

Jika benar, situasi ini bertentangan dengan firman Allah SWT dlm surah al-Taubah ayat 103 yang menjelaskan tentang falsafah zakat adalah penyucian diri para pembayar dan penerima zakat.

Manakala riba merupakan sesuatu perbuatan yang terkutuk dan diperangi oleh Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 275.

9) Berapakah kadar upah bagi satu-satu khidmat online yang ditawarkan Shopee? Bagaimana pula dengan konsep ‘floating’ wang pembayar zakat sebelum ia diserahkan kepada pihak berkuasa agama? Dan mengapa jika berlaku masalah teknikal online (tidak berjaya) maka wang zakat berkenaan tidak boleh dituntut kembali oleh pembayar? Bahkan ia dikira menjadi milik Shopee. Bukankah ini salah satu dari unsur gharar tersembunyi?

Justeru, persoalan ini memerlukan jawapan tuntas dari pihak berkuasa agama yang melantik mereka. Masyarakat Muslim yang membayar zakat benar2 ingin tahu apa yang berlaku kepada wang zakat mereka setelah ia dibayar kepada ejen berkenaan.

10) Apakah dalil syarak yang membenarkan kita melantik platform online yang menjual alat seks dan pemuas seks untuk lelaki, alat seks dan pemuas seks untuk perempuan, alat seks untuk golongan lesbian dan alat seks untuk golongan gay sebagai agen pengutip zakat tsiqah? Masyarakat Muslim berhak tahu.

11) Apakah dalil keharusan pihak berkuasa agama menggunakan platform online yang menjual pita seks, buku seks, video seks, video mempromosi seks sejenis sebagai agen pengutip zakat yang boleh dipercayai? Masyarakat Muslim benar-benar ingin tahu.

12) Apakah dalil keharusan pihak berkuasa agama menggunakan platform yang menjual arak seperti beer dan wine, daging babi, dan pelbagai makanan tidak halal, mempromosi gaya hidup bebas sebagai agen pengutip zakat? Masyarakat Muslim ternyata semakin keliru dan rancu.

13) Mengapa pihak berkuasa agama tergamak menyalurkan sebahagian duit zakat (atau bayaran sebagai agen zakat) kepada syarikat yang menjual dan mempromosi barangan yang haram menurut Islam? Nabi SAW bersabda:

إِنَّ الْحَلَالَ بَيِّنٌ، والْحَرَامَ بَيِّنٌ، وبَيْنَهُمَا مُشْتَبِهَاتٌ لَا يَعْلَمُهُنَّ كَثِيرٌ مِنَ النَّاسِ، فَمَنِ اتَّقَى الشُّبُهَاتِ فَقَدِ اسْتَبْرَأَ لِدِينِهِ، وعِرْضِهِ، ومَنْ وقَعَ فِي الشُّبُهَاتِ وقَعَ فِي الْحَرَامِ، كَالرَّاعِي يَرْعَى حَوْلَ الْحِمَى، يُوشِكُ أَنْ يَقَعَ فِيهِ…
-Muttafaqun alaihi.

14) Keharusan bagaimanakah yang diperlukan untuk menyokong syarikat bukan Islam yang terlibat dengan pelbagai kegiatan haram disisi Islam sedangkan begitu banyak kaedah dan platform untuk membayar zakat yang ada di pasaran dan patuh syariah? Kaedah menyebutkan:
لا عبرة للدلالة في مقابلة التصريح

“Tidak boleh mengambil kira petunjuk tertentu setelah ia bertentangan dengan realiti.”

15) Oleh yang demikian, mereka yang membuat keputusan ini wajar dipertangungjawabkan di dunia dan di akhirat. Jika tersilap, maka keputusan masih boleh dikaji semula dan diubah. Bukankah mengakui dan menerima kesilapan sendiri serta membetulkannya itu lebih baik dari membiarkan umat Islam terjerumus ke arah kebatilan yang berterusan.

16) Di manakah suara mufti, ulama, tok guru, profesor, para asatizah dan NGO Islam dalam hal ini? Adakah anda semua tergolong dalam golongan yang memiliki selemah-lemah iman? 

Kesimpulannya, keharusan yang bagaimanakah sehingga umat Islam wajib mentaati keputusan pemerintah untuk membayar zakat melalui platform Shopee yang jelas tiada roh Islamik? Kaedah ada menyebutkan:
لا عبرة بالظن البين خطاءوه

“Tidak boleh mengambil kira dengan sesuatu sangkaan yang jelas ternyata salah.” -Malaysiapost

Penulis adalah Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (ASWAJA)

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here