“MANA-MANA pihak tidak perlu meminta PAS memilih sama ada hendak bersama Muafakat Nasional (MN) atau tidak”, kata Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan.
Ahli Parlimen Kota Bharu itu berkata, ini kerana PAS adalah antara watak utama yang merangka dan berusaha menubuhkan MN atas dasar penyatuan ummah.
“PAS berpegang teguh dengan Piagam MN yang dimeterai antara Umno dan PAS pada 14 September 2019.
“Ia antara lain bersetuju membentuk kerjasama dengan mengembangkan naratif Islam dan Melayu tanpa menafikan kepelbagaian agama, kaum dan budaya sebagai paksi kepada kestabilan politik, keharmonian kaum serta kesejahteraan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) itu berkata, PAS turut mempertegaskan betapa MN perlu dijadikan amalan musyawarah bagi memperkasakan agenda Islam, Melayu, Bumiputera khususnya dan rakyat Malaysia amnyasecara tuntas dalam kerangka Perlembagaan negara.
“Ia demi membangunkan negara inklusif, sejahtera dan menjamin keadilan sosial merentasi batas warna kulit mahupun anutan,” katanya.
Justeru itu, katanya, PAS berpandangan MN bukanlah milik eksklusif sesuatu parti atau kelompok, sebaliknya harus dibuka kepada semua kalangan yang cintakan perpaduan, keharmonian dan keadilan di dalam negara ini.
“Dengan mengekalkan komitmen yang mantap dalam Agenda Besar MN, adalah jelas dari sudut pendekatan dan strategi politik tiada suatu pun halangan yang dikenakan untuk Umno daripada kekal bersama Barisan Nasional (BN) mahupun untuk PAS dari menyertai mana-mana gabungan atau kerjasama politik.
“Apa yang penting adalah gabungan Umno dan PAS boleh malah perlu bekerjasama dengan mana-mana pihak yang mempunyai cita-cita yang sama dalam menghadapi PRU-15 dengan suatu persefahaman yang jitu khususnya tiada pertembungan sesama sendiri yang menguntungkan pihak lain.
“PAS amat yakin bagi mencapai cita-cita dan hasrat ini semua
pihak perlu meneroka jalan damai dan saling menerima serta hormat menghormati, bukan sebaliknya,” katanya.
Baru-baru ini, Pengarah Pilihan Raya Umno, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman meminta PAS membuat keputusan segera sama ada mahu bersama-sama dengan MN atau Perikatan Nasional (PN) menjelang PRU-15.
Beliau berkata, ini kerana setakat ini, parti itu masih belum pendirian yang jelas mengenai kerjasama mereka untuk menghadapi PRU-15.
Katanya, keputusan segera diperlukan kerana PRU-15 mungkin akan diadakan tidak lama lagi.
“Kalau kita terpaksa berdiri sendiri, kita masih yakin dan saya yakin kita boleh. Tapi kalau seeloknya boleh kekal bersama PAS dengan Umno lagi baik,”. -Malaysiapost

