SAYA akan teruskan membawa suara rakyat kepada kerajaan supaya didengar dan dihormati kata bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Najib berkata demikian ketika mengulas berhubung isu pengeluaran Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan lanjutan moratorium secara automatik.
Beliau berkata, setiap hari beliau membaca keluh kesah rakyat menerusi akaun Facebook berhubung kesempitan hidup yang dialami akibat pandemik Covid-19.
Malah, Ahli Parlimen Pekan itu berkata, situasi itu menjadi semakin parah apabila KWSP meletakkan syarat yang ketat kepada pencarum untuk mengeluarkan wang simpanan mereka untuk digunakan bagi meneruskan kelangsungan hidup.
Bagaimanapun, Najib berkata, realitinya adalah beliau kini bukanlah sebahagian daripada kerajaan dan kuasa untuk membuat keputusan tidak berada di tangannya.
“Saya cuma mampu bawa suara rakyat dan memberi tekanan kepada kerajaan agar suara rakyat didengar dan dihormati… dan ini akan saya teruskan kerana tiada apa yang lebih penting melainkan kebajikan rakyat,” katanya dalam satu video berdurasi 14 minit yang dimuatnaik di Facebook beliau.
Bekas Presiden Umno itu berkata, beliau dan Barisan Nasional (BN) tidak berpuas hati dengan syarat ketat yang diberikan KWSP yang diibaratkan seperti permohonan pinjaman bank.
“Saya juga tak faham kenapa jutaan rakyat dipaksa untuk beratur panjang di pejabat KWSP untuk pada masa pandemik untuk membawa bukti dokumen.
“Pada saya ini adalah langkah yang tak masuk akal dan membahayakan ramai. Saya tahu ramai yang kecewa dan marah dengan perkara ini,” katanya.
Sementara itu, Najib berkata, tahun 2021 sudah menjelang tiba namun kebimbangan rakyat masih berterusan terutamanya melihatkan mutasi Covid-19 di United Kingdom yang semakin ganas.
Katanya, ia ditambah lagi dengan kebimbangan kes di negara yang masih tinggi.
“Saya berdoa supaya jumlah kes baharu tidak akan lonjak kepada lima ribu kes sehari dalam bulan-bulan mendatang kerana vaksin hanya dijangka selesai diberi kepada 70 peratus penduduk Malaysia pada akhir 2021.
“Ini bermaksud Malaysia akan terus dicabar oleh pandemik ini dalam enam bulan pertama tahun depan.
“Justeru, kerajaan perlu meneliti dari semasa ke semasa situasi ini dan mengambil langkah-langkah segera bagi mengatasinya,” katanya. – Malaysiapost

