Muhammad Mustakim Ramli
KETUA Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah pagi tadi ‘turun padang’ meninjau Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) Pusat Koreksional Jasin (PKJ), Melaka.
Menerusi perkongsian di Facebook, Dr Noor Hisham memaklumkan beliau turut meninjau kesiapsiagaan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Melaka dalam menghadapi peningkatan kes di negeri berkenaan.
“Susulan peningkatan kes Covid-19 yang mendadak dalam kalangan banduan dan Orang Kena Tahan (OKT) PKJ, maka Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dilaksanakan mulai 22 Disember sehingga 4 Januari 2021 yang meliputi PKJ serta kuarters kakitangan.
“Pelaksanaan PKPD ini melibatkan tahanan, kakitangan PKJ dan ahli keluarga kakitangan. Sehingga 29 Disember, secara kumulatif sebanyak 281 kes positif dikesan dalam kalangan tahanan di mana 274 daripadanya merupakan kes berkaitan Kluster Penjara Jalan Harapan.

“Bagi menangani peningkatan kes di pusat tahanan ini, PKRC PKJ telah mula beroperasi pada 23 Disember dengan kapasiti untuk menempatkan 108 pesakit Covid-19 berisiko rendah (tidak bergejala dan bergejala ringan),” katanya.
Beliau berkata seramai 19 anggota kesihatan bertugas mengikut syif di PKRC PKJ terdiri Pegawai Perubatan, Paramedik dan Pembantu Perawatan Kesihatan.
“Selain itu, terdapat 51 anggota agensi-agensi seperti Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), polis, Rela, Pejabat Daerah dan Tanah Jasin, ATM, Bomba dan lain-lain yang turut terlibat.
“Bagi KKM, saya ingin menyampaikan ucapan penghargaan dan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat di lapangan terutama di Melaka dalam membantu KKM membendung pandemik Covid-19.
“Semoga kerjasama bersepadu ini akan dapat diteruskan dan dimantapkan dari semasa ke semasa,” katanya. – Malaysiapost
