PENGECUALIAN cukai jualan untuk kereta penumpang membabitkan pemasangan tempatan (CKD) dan model diimport sepenuhnya (CBU) dilanjutkan untuk tempoh enam bulan sehingga 30 Jun tahun depan.
Kementerian Kewangan berkata, langkah itu bagi memacu momentum perkembangan sektor automotif.
Katanya, ia membabitkan pengecualian sepenuhnya cukai jualan yang dikenakan ke atas kereta penumpang, termasuk kenderaan pelbagai guna (MPV) dan kenderaan utiliti sukan (SUV).
Bagi CBU import baharu dan CBU import terpakai, ia berkata, pengecualian 50 peratus cukai jualan dikenakan ke atas kereta penumpang, termasuk MPV dan SUV.
“Pengecualian ini akan berkuatkuasa dari 1 Januari 2021 hingga 30 Jun 2021,” katanya.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, ketika membentangkan pakej Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) pada awal Jun lalu mengumumkan pengecualian cukai jualan sepenuhnya bagi kereta penumpang CKD dan 50 peratus untuk model CBU bermula 15 Jun hingga 31 Disember 2020.
Ia sebahagian langkah merangsang jualan kenderaan di Malaysia, sekali gus menyokong ekonomi negara.
Hasilnya, industri automotif tempatan mencatatkan momentum positif apabila merekodkan pertumbuhan jualan keseluruhan industri (TIV) kukuh pada suku ketiga mengatasi rekod yang dicatatkan pada suku sama untuk tempoh tiga tahun lalu.
TIV pada suku ketiga lalu berjumlah 167,131 unit dengan lonjakan 147 peratus suku ke suku dan 14 peratus lebih tinggi tahun ke tahun. – Malaysiapost

