SEORANG lelaki yang membakar dirinya selepas menyimbah badan dengan petrol, membatalkan niat membunuh diri kerana tidak mampu menahan panas.
Dalam kejadian jam 10.53 pagi tadi, lelaki berusia 39 tahun itu terjun ke parit di Jalan Ngee Heng di Johor sebaik membakar diri, namun melecur pada tangan dan badan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Larkin, Timbalan Penguasa Bomba l Mohd Suhaimi Abdul Jamal berkata, mangsa melecur lima peratus pada badan, lapor Harian Metro.
Katanya, seramai 11 anggota Balai Bomba dan Penyelamat Larkin bersama sebuah jentera, satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) serta dua unit Rapid Intervention Motorcycle (RIM) dikejarkan ke tempat kejadian.
Beliau berkata, setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di tempat kejadian didapati terdapat seorang lelaki dewasa cuba membunuh diri.
“Pihak bomba mengangkat mangsa dalam parit sebelum menyerahkannya kepada pasukan perubatan untuk tindakan lanjut.
“Mangsa terjun ke dalam parit selepas tidak tahan dengan kepanasan. Mangsa dalam keadaan sedar dan diserah kepada Kementerian Kesihatan (KKM) untuk tindakan lanjut.
“Kita tidak tahu apa motif lelaki berkenaan mahu membunuh diri,” katanya. – Malaysiapost
