Kartel daging: JMM dakwa ada pembabitan parti politik

0
1

Muhammad Mustakim Ramli

JARINGAN Melayu Malaysia (JMM) mendakwa terdapat pembabitan sebuah parti politik dalam isu kartel daging sejuk beku.

Presidennya, Hamdan Mohd Salleh, berkata pembabitan parti terbesar itu bukannya baru malah didakwa berlaku lima tahun yang lalu.

“Hari ini kita membuat laporan polis mengenai pendedahan sebuah parti politik terbesar dan sekutunya dalam menjatuhkan industri daging dengan berkerjasama dengan pihak kartel.

“Mereka bersekongkol menjatuhkan syarikat GLC kerajaan seperti Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC) dengan usaha menggagalkan perusahaan industri daging ini,” katanya dalam sidang media, hari ini.

Terdahulu beliau membuat laporan berhubung isu berkenaan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di ibu negara.

Mengulas lanjut, Hamdan berharap pihak berkuasa segera mengambil tindakan dengan menyiasat pimpinan parti politik berkenaan.

Ditanya parti mana yang terbabit dalam isu berkenaan, Hamdan bagaimanapun berkata ia adalah kes besar dan lebih sesuai pihak berkuasa sendiri mendedahkannya.

“Kita tidak dapat dedahkan kerana ia dalam siasatan. Kalau tuan (wartawan) study isu NFC tuan dapat ketahui pihak yang terbabit,” katanya.

Awal bulan ini media melaporkan taktik jahat kartel yang menyeludup daging sejuk beku dari China, Ukraine, Brazil dan Argentina sebelum membungkus semula daging tersebut dengan logo halal dan menjualnya ke pasaran seluruh Malaysia.

Hasil risikan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) kartel berkenaan dipercayai menyamar sebagai syarikat pembekal daging sejuk beku telah menjadikan gudang berkenaan sebagai lokasi untuk membuat label dan cap palsu yang kemudiannya akan ditampal pada kotak daging yang telah dibungkus semula itu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here