Siasatan terperinci isu kartel daging perlu dilaksanakan

0
3

Fitri Nizam

KAUKUS Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara mahu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menubuhkan pasukan khas bagi menyiasat isu kartel daging.

Pengerusinya, Senator Datuk Razali Idris, berkata pihaknya memandang serius isu kartel daging haram yang berlaku di negara ini.

Katanya, isu itu perlu diselesaikan secara tuntas oleh pihak berwajib apatah lagi membabitkan soal maruah umat Islam di negara ini.

“Kaukus Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara akan memanggil agensi berkaitan dengan pembekalan dan pengimportan daging ke negara ini bagi mendapat penjelasan dan fakta yang lebih tepat, wajar dan berkepentingan kepada kesejahteraan rakyat.

“Saya juga menggesa supaya kerajaan mendedahkan jenama produk daging import dari negara sumber tidak sah, termasuk diragui status halal dan kualitinya yang dijual di pasaran tempatan dalam tempoh yang terdekat ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Razali yang juga Timbalan Presiden Majlis Senator Malaysia berkata, kerajaan juga perlu mengenal pasti segera dalang yang bertanggungjawab menguruskan proses import daging sejuk beku yang diragui status halalnya.

“Adakah berlakunya monopoli kilang pemprosesan daging halal di luar negara (negara import), mengenal pasti prosedur Jabatan Pemeriksaan Veterinar (DVS) serta kelulusan sijil halal yang dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim),” katanya lagi.

Beliau selaku Ahli Dewan Negara berkata, ia adalah satu tanggungjawab besar Dewan Negara yang telah membenarkan usul ini dibahaskan dan disegerakan di atas kepentingan awam.

“Ia juga membabitkan kepentingan keselamatan, kesihatan, ekonomi dan kesejahteraan rakyat serta negara,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here