PERAYAAN Krismas tidak boleh disambut umat Islam, kata pendakwah bebas Mohamad Amirul Amin Maula Lokman Hakim atau lebih dikenali sebagai PU Amin.
Beliau berkata, mufti sudah menegaskan bahawa perayaan berkenaan tidak boleh diraikan terutama orang beragama Islam.
Bagaimanapun, katanya, ramai yang tidak mengambil endah perkara ini malah lebih pandai dari segi agama berbanding mufti.
“Mufti kata tak boleh. Tapi sebab ramai lagi power dari Mufti, nak buat macam mana.
“Kawan kristian saya pun faham sebab ini amalan agama mereka. Mereka tak kecil hati pun bila kita kata tak boleh. Ini akidah kita. Agama dia agama dia. Agama kita agama kita,” katanya menerusi Facebook.
Beliau menambah, orang Islam sekarang terlampau terbuka hingga melanggar perkara yang dilarang oleh agama.
“Dulu yang photoshoot dekat kubur kristian pun orang kita juga. Malu kita.
“Kadang dorang pun pelik, kenapa orang melayu Islam over bergambar dengan simbol dan hiasan agama mereka.
“Besar cabaran akhir zaman. Dulu tak macam ni. Apa lah akan jadi pada nasib anak bangsa kita 20 tahun akan datang.
“Ya Allah pelihara kami Ya Allah. Maafkan kami Ya Rasulullah kerana lemah nya kami,” katanya.
Semalam, beberapa nama selebriti termasuk Awal Ashaari dan Scha Alyahya, serta bekas Menteri Belia, Sukan, Syed Saddiq ditegur oleh PU Syed supaya memadam gambar memakai topi Santa Klaus kerana hukum pemakaiannya haram.
Malah, pasangan selebriti, Fasha Sanda dan Aidil Aziz turut dikecam netizen selepas memakaikan bayi perempuannya kostum Santa Claus.
Sementara itu, Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan pemakaian topi Santa Klaus atau perhiasan yang berkaitan Krismas, adalah tidak dibenarkan.
“Tidak ada keperluan untuk memakainya kerana pemakaian atau perhiasan tersebut seakan-akan menunjukkan pengiktirafan terhadap perayaan tersebut.
“Jika ada jemputan maka ianya terhad kepada kadar yang diperlukan seperti jamuan makan.
“Itu pun adalah sebagai tanda menjaga hubungan baik bukannya mengiktiraf kepercayaan dan perayaan mereka,” katanya. -Malaysiapost
