PENGERUSI Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan gabungan itu boleh mengundang sesiapa saja untuk bekerjasama termasuk Tun Dr Mahathir Mohamad.
Ketua Pembangkang itu berkata selagi berpegang pada prinsip dan pihak yang diundang tidak membawa agenda peribadi, ia dibolehkan.
“Itu saya serah pada PH. Siapa pun boleh undang, tapi patuh pada prinsipnya.
“Bukan bawa agenda peribadi dan meneruskan kebobrokan yang lama,” katanya ketika ditemui selepas majlis pelancaran buku “100 Esei Seni & Sastera Era Reformasi 2008-2011” di Shah Alam, hari ini.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai keinginan Dr Mahathir untuk kembali menerajui negara, Anwar berkata soalan berkenaan sudah tidak relevan.
Katanya, sesiapa sahaja yang ingin menjadi Perdana Menteri harus mempunyai tekad untuk melaksanakan reformasi dan tadbir urus yang baik.
“Bagi saya soalan itu tidak relevan… tidak peduli siapa pun, dari parti mana, mesti ada komitmen untuk memerangi rasuah dan tidak melindungi keluarga dan kroni.
“Komited untuk memperjuangkan dan membantu penderitaan orang miskin di luar bandar, masyarakat terpinggir,” katanya.
Sabtu lalu, Presiden Amanah, Mohamad Sabu dalam ucapan dasarnya di Konvensyen Amanah menyentuh mengenai cadangan gabungan besar antara parti pembangkang untuk menghadapi PRU ke-15.
Ketua Penerangan PKR Shamsul Iskandar Mohd Akin pula berpendapat untuk merealisasikan perkara itu, perjanjian asal menyokong Anwar untuk memimpin negara seperti dijanjikan selepas PH memenangi PRU ke-14 perlu dikotakan.
Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) pula terbuka dengan sebarang cadangan tetapi enggan menyokong sekiranya kerjasama tersebut melibatkan golongan kleptokrat. – Malaysiapost
