DATUK Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri yakin Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dapat menangani isu kartel daging import seludup dan diragui statusnya dengan baik.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu berkata, beliau berharap masyarakat dapat memberikan sokongan selain doa yang akan menemui jalan penyelesaian.
“Insya-ALLAH, saya yakin isu terbabit akan ditangani sebaiknya oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).
“Dengan sokongan dan doa rakyat Malaysia, isu terbabit akan menemui jalan penyelesaian,” ciapnya menerusi Twitter hari ini.
Selain itu, Zulkifli turut mengesyorkan orang ramai memuat naik aplikasi Verify Halal di App Store bagi pengguna iOS dan Google Play bagi pengguna Android untuk memeriksa status halal produk.
“Ia sama ada dengan mengimbas kod bar, menaip maklumat produk ataupun melakukan pencarian mengikut produk, jenama, syarikat dan negara,” katanya.
Sebelum ini, media mendedahkan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan (Maqis) serta KPDNHEP menyerbu sebuah stor di Senai, Johor yang didapati meletakkan label halal terhadap daging yang diimport.
Kartel yang mendalangi penyeludupan daging import dari negara sumber tidak sah, termasuk diragui status halal dan kualitinya, dipercayai ‘membeli’ beberapa kakitangan kerajaan, termasuk pegawai kanan agensi tertentu bagi melepasi pemeriksaan di pintu masuk negara.
Wang ringgit dan habuan berlibur dikatakan diguna bagi merasuah pegawai terbabit sebagai dorongan ‘melepaskan’ barangan yang diimport tanpa mengikut peraturan ke pasaran negara ini.
Sumber yang rapat dengan siasatan kes terbabit, mendakwa kartel mempunyai ‘orang dalam’ pada semua peringkat prosedur dan pemeriksaan di pintu masuk, menyebabkan mereka kebal sehingga mampu beroperasi sejak lebih 40 tahun lalu. -Malaysiapost
