Isu roboh gerai: Peniaga mahu duduk semeja bincang, bukan nak gaduh dengan YDP

0
1

Nilam Oshman

PERTUBUHAN Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (IKHLAS) memberi jaminan perjumpaan 43 peniaga gerai di Puchong Permai bersama Yang Dipertua (YDP) Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) untuk berbincang bukannya ‘bertegang urat’.

Presidennya, Datuk Mohd Ridzuan Abdullah berkata, tujuan mereka untuk berjumpa dengan YDP adalah untuk menyelesaikan masalah berhubung perobohan gerai-gerai berkenaan, bukannya bergaduh.

“Kita ingin berbincang mengenai tempat baharu yang diberi MBSJ… gerainya kecil iaitu 8 x 8 persegi seperti ‘reban ayam’ dan satu lagi makanan atau minuman yang dijual take away (bungkus dan pulang),” katanya ketika dihubungi Malaysiapost hari ini.

Mohd Ridzuan turut memaklumkan beliau dalam perjalanan ke MBSJ bagi menghantar surat kepada YDP.

“Cuma sekarang ini apa yang diminta peniaga adalah keluasan gerai baharu itu, sekurang-kurangnya buatkanlah 20×20 persegi, supaya luas dan peniaga boleh masak di sana, ini berlaku sebaliknya dan ia merumitkan keadaan mereka lagi.

Sehubungan itu, Ridzuan mempersoalkan tindakan YDP kerana tidak mahu menerima pandangan serta memberi kerjasama kepada peniaga.

“Sepatutnya, kita sebagai pihak berkuasa tempatan bertaraf bandar raya kena ‘upgrade’ peniaga bukannya ‘downgrade mereka,” katanya yang turut meminta Menteri Besar Selangor campur tangan menyelesaikan isu berkenaan.

Mohd Ridzuan turut kesal kerana isu perobohan gerai berlaku ketika ramai rakyat termasuk golongan peniaga terjejas akibat penularan pandemik Covid-19.

“Andai kata kita pindah tempat baru belum tentu ada pengunjung, secara tak langsung dah jejas pendapatan mereka,” katanya.

Mengenai operasi meroboh gerai-gerai berkenaan, pihak MBSJ memberi tempoh tujuh hari untuk peniaga menyelesaikan masalah tersebut.

“Jadi, saya letak syarat dalam tempoh tersebut kita nak jumpa YDP. Sebelum ini persatuan peniaga cuba untuk jumpa YDP, dia mengelak jadi sekarang ini kita hantar surat, sebelum Jumaat ini kita pastikan dapat berjumpa dengannya.

“Sekiranya, tak dapat jumpa IKHLAS akan bawa lebih ramai NGO dari seluruh Malaysia, kita akan turun dan kita pastikan tempat itu takkan diroboh. Kita akan mempertahankan tempat itu,” katanya.

Beliau turut menegaskan akan membuat laporan polis jika YDP masih berdegil tidak mahu berjumpa pihaknya serta peniaga.

Semalam, kira-kira 100 anggota penguatkuasa melibatkan MBSJ, polis dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dikerah untuk operasi perobohan gerai-gerai makan itu.

Operasi bermula jam 8 pagi itu mencetuskan ketegangan antara sekumpulan penjaja yang dengan penguatkuasa untuk menghalang perobohan gerai makan yang diusahakan mereka sejak 20 tahun lalu. – Malaysiapost

Artikel Berkaitan:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here