24 penumpang selamat, keretapi tergelincir dari landasan

0
2

SEBUAH keretapi yang membawa 24 penumpang dan empat kakitangan dilaporkan tergelincir dari landasan di kilometer 752.75 hingga 753.25 (arah utara ke selatan) berhampiran Kampung Kurnia, Johor Bahru, malam tadi.

Bagaimanapun, semua penumpang dan kakitangan tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian kira-kira jam 7.49 malam itu.

Difahamkan, mendapan berlaku di kawasan berhampiran tapak Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas-Johor Bahru (PLBEGJB) dan dipercayai disebabkan hujan lebat pada sebelah petang.

Ketua Pegawai Eksekutif Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Mohd Rani Hisham Samsudin, berkata berikutan kejadian itu, tren terpaksa dihentikan sebelum kawasan kejadian.

“Semua penumpang dipindahkan dengan bas bagi meneruskan perjalanan ke Stesen JB Sentral.

“Ketika ini, perkhidmatan tren akan ditamatkan di Stesen Kempas Bahru dan penumpang akan disediakan kenderaan perantaraan bagi meneruskan perjalanan ke Stesen JB Sentral dan sebaliknya,” katanya
dalam kenyataan hari ini.

Mohd Rani berkata, kerja pemulihan trek juga giat dijalankan di kawasan terbabit.

“KTMB memohon maaf kepada penumpang yang terbabit kejadian itu dan sebarang maklumat akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Mohd Padzli Mohd Zain, mengesahkan menerima kejadian membabitkan keretapi lima gerabak itu termasuk tiga gerabak penumpang. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here