PARTI Amanah Negara (Amanah) bukan ‘walaun’ kepada mana-mana pemimpin politik namun tiada niat ketepikan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Timbalan Presidennya, Datuk Salahuddin Ayub, berkata pendirian parti adalah jelas iaitu menumbangkan kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Menurutnya, kerajaan PN mencuri mandat rakyat yang diberikan pada pilihan raya lalu.
“Ketika Amanah ditubuhkan, tiada ‘dewa’ dalam Amanah. Tiada ‘warlod’ (panglima politik) dalam Amanah.
“Saya jelaskan pendirian Amanah. Saya boleh tahu pemimpin Amanah yang paling komited dengan Pakatan Harapan (PH). Kita bukan nak jadi ‘walaun’ mana-mana (pemimpin politik).
“Saya bukan walaun (Presiden Amanah) Mohamad Sabu. Amanah bukan walaun siapa-siapa. Kita bukan walaun Tun (Dr Mahathir Mohamad), bukan ‘walaun’ (Presiden PKR) Anwar Ibrahim.
“Tapi kita mahu PH berdiri dan menumbangkan kerajaan tebuk atap yang jadi perompak dan penyamun kepada mandat rakyat,” katanya ketika berucap di Konvensyen Pemuda Amanah, hari ini.
Dalam pada itu, Salahuddin berkata parti itu tidak pernah sama sekali berniat untuk mengenepikan kepimpinan Anwar.
“Tak ada niat pun (Amanah) nak ketepikan Anwar seperti yang difitnah hari-hari.
“Hari ini kita buat penjelasan, ini adalah pendirian rasmi kita,” katanya lagi. -Malaysiapost

