Jenazah bekas Ahli Parlimen Sri Gading selamat dikebumikan

0
2

JENAZAH bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (Dun) Johor, Tan Sri Mohamad Aziz selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Aliff, Johor Bahru kira-kira jam 10 pagi tadi.

Allahyarham yang juga Ketua Umno Bahagian Sri Gading dan bekas Ahli Parlimen Sri Gading meninggal dunia pada jam 9.50 malam akibat sakit buah pinggang.

Terdahulu, jenazah dimandikan di hospital dan dibawa ke kediamannya di Taman Nong Chik, lapor Harian Metro.

Turut hadir memberi penghormatan terakhir adalah Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad; Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Datuk Azmi Rohani; Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Johor, Datuk Samsolbari Jamali dan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri, Ayub Jamil.

Sementara itu, anak sulung Allahyarham, Shukur Mohamad berkata, selain digambarkan sebagai insan yang mudah disayangi oleh orang sekelilingnya, arwah bapanya juga seorang yang tegas dan mempunyai pelbagai gelaran antaranya ‘singa selatan’.

Shukur yang juga anak sulung daripada sembilan beradik berkata, pesanan Allahyarham yang akan selalu diingatinya adalah menjaga solat, menjaga silaturahim dan paling utamanya, menghormati alim ulama.

“Abah di luar sana dilihat sebagai seorang yang garang. Ada yang menggelarnya ‘singa selatan’ terutama seteru politik, namun sebenarnya abah paling ‘sporting’ dan apa yang anda lihat di luar, bukan yang sama apabila dia di rumah.

“Kalau (arwah) ada terguris kata, salah bahasa. Ampunkan dia. Kalau (arwah) ada hutang, datang berjumpa dengan saya, Insya-Allah kita lunaskan.

“Terima kasih (kerana) daripada semalam, apabila dapat tahu dia meninggal dunia, ramai yang bertanyakan mengenainya, selain terus-terusan mendoakannya.

“Saya sebagai anak sulung dengan rendah diri mohon keampunan. Kadang-kadang orang politik dia terkasar bahasa, walhal kadang dia bergurau. Dia punyai hati yang baik,” katanya. -Malaysiapost

Foto: Harian Metro

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here